Situasi di sekitar kawasan kejadian pesawat terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar pada 13 Februari 2024. Foto Facebook Bernama
AGENDANASIONAL

Pesawat terhempas: Juruterbang, pembantu disahkan maut

KAPAR, 13 FEB: Juruterbang dan seorang pembantu juruterbang disahkan maut dalam kejadian pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas tengah hari tadi di Kampung Tok Muda di sini.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata mengikut manifest yang didaftarkan, nama mangsa yang terbunuh ialah juruterbang Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan pembantu juruterbang Roshaan Singh Raina, 42.

Beliau berkata kedua-dua mangsa dipercayai terbenam bersama bahagian kokpit pesawat sedalam lebih dua meter, di kawasan ladang kelapa sawit dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pada 1.45 petang.

“Siasatan awal mendapati, pesawat itu menjunam di kawasan ladang kelapa sawit hingga menyebabkan 45 peratus badan pesawat terbenam ke dalam tanah.

“Usaha mengeluarkan dua mangsa lelaki rakyat tempatan sedang dilakukan dan dijangka selesai kira-kira 10 malam ini, dan mayat akan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang),” katanya pada sidang media di lokasi kejadian di sini.

Hussein berkata kedua-dua mangsa dipercayai melakukan penerbangan rekreasi sebelum kejadian.

Beliau berkata berdasarkan kad pengenalan mangsa, kedua-duanya berasal dari Johor dan Pulau Pinang, namun dipercayai menetap di Selangor.

“Kira-kira 150 anggota dari pelbagai agensi, terlibat dalam usaha mengeluarkan mayat dengan pencarian serpihan bangkai pesawat dilakukan dalam lingkungan 50 meter radius.

“Kita menghadapi kesukaran bagi mengeluarkan bangkai pesawat (yang terdapat mangsa di dalam) yang terbenam dan terpaksa menggunakan jengkaut dari pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Hussein berkata kejadian tersebut bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kerosakan pada rumah penduduk di sekitar kejadian.

– BERNAMA


Pengarang :