Pemain Iran meraikan jaringan ketika melawan Jepun pada perlawanan suku akhir Piala Asia 2023 di Stadium Education City, Qatar pada 3 Februari 2024. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Piala Asia: Iran tewaskan Jepun 2-1, layak ke separuh akhir

AL RAYYAN (QATAR), 3 FEB: Jaringan ketua pasukan Alireza Jahanbakhsh menerusi penalti pada lewat masa permainan, memastikan Iran layak ke separuh akhir Piala Asia 2023 dengan menewaskan Jepun 2-1 pada aksi suku akhir di Stadium Education City di sini, hari ini.

Keputusan itu membolehkan Team Melli bimbingan Ardeshir Ghalehnoy, terus memasang impian untuk merangkul gelaran keempat mereka, sekali gus meranapkan impian Samurai Biru yang tampil pada kejohanan kali ini dengan rekod cemerlang, dalam misi mengintai gelaran kelima.

Kemenangan itu juga menyaksikan dendam Iran terhadap Jepun terbalas, selepas diaibkan 0-3 pada peringkat separuh akhir edisi 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pada pertembungan hari ini, Iran bermain tanpa penjaring terbanyak pasukan pada kempen kali ini, Mehdi Taremi (tiga gol) yang digantung perlawanan, susulan mengutip kad merah pada aksi pusingan 16 terbaik menentang Syria.

Situasi itu tidak merencatkan rentak Iran apabila tetap berhasil menembusi benteng pertahanan skuad kendalian Hajime Moriyasu, untuk mencipta beberapa percubaan berbahaya sepanjang permainan menerusi gandingan Sardar Azmoun dan Mohammad Mohebbi, yang mengepalai jentera serangan pasukan.

Namun, Jepun terlebih dahulu di depan pada minit ke-28, selepas Hidemasa Morita membuat larian solo dan memperdaya tiga pemain pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan leret dari jarak dekat, menyaksikan bola terkena kaki penjaga gol Alireza Safar Beiranvand dan terbias masuk ke gawang Iran.

Saman Ghoddos yang menerima hantaran Shoja Khalilzadeh, mensia-siakan peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan buat Iran, selepas rembatannya dari sebelah kiri sedikit tersasar di kanan gawang pada minit ke-39.

Selepas kedudukan memihak Jepun pada separuh masa pertama, Iran menggandakan tempo permainan memasuki babak kedua dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi Mohebbi yang memanfaatkan lorongan cantik Azmoun sebelum melepaskan rembatan kencang pada minit ke-55.

Azmoun kemudian kempunan untuk meletakkan Iran di depan, selepas jaringannya pada minit ke-63 dibatalkan kerana ofsaid, sebelum Mohebbi turut kecewa apabila tandukannya empat minit kemudian sedikit tersasar di kiri gawang.

Azmoun yang merupakan penyerang AS Roma, sekali lagi buntu menemui sentuhan jaringan apabila tandukannya selepas menerima hantaran Milad Mohammadi, sedikit tersasar ke kiri gawang pada minit ke-72.

Serangan bertali arus Iran, akhirnya membuahkan hasil di penghujung perlawanan apabila dihadiahkan penalti, selepas Kou Itakura yang gagal mengeluarkan bola dalam kawasan bahaya menjatuhkan Hossein Kanani yang berlari dari arah belakangnya.

Penalti itu disempurnakan dengan yakin dan tenang oleh Jahanbakhsh pada minit 90+6 sekali gus mengesahkan kejayaan Iran ke pentas separuh akhir, dan menyingkirkan Jepun yang juga juara empat kali.

Pada aksi separuh akhir yang dijadual berlangsung di Stadium Al Thumama, Doha, Rabu depan, Iran yang muncul juara pada 1968, 1972 dan 1976, akan bertemu pemenang antara tuan rumah Qatar dan Uzbekistan yang bakal berentap dalam satu lagi perlawanan suku akhir lewat malam ini.

— BERNAMA


Pengarang :