Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menjalankan ujian pensampelan di jambatan Sungai Pajam pada 2 Disember 2022 bagi mengatasi masalah pencemaran air di Sungai Semenyih. Foto Facebook LUAS
AGENDANASIONAL

Pindaan Akta 655: Denda sehingga RM15 juta kepada pencemar air

SHAH ALAM, 11 FEB: Individu tidak bertanggungjawab mencemar sungai bakal berdepan denda sehingga RM15 juta jika pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) diluluskan Parlimen pada Jun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkata draf pindaan itu juga mencadangkan hukuman penjara sehingga 15 tahun berbanding hanya 10 tahun ketika ini.

Menurut Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman pindaan akta itu turut menggariskan hukuman terhadap pihak yang membuat penyambungan haram atau mencuri air.

“Setakat ini draf pindaan akta berada di peringkat Peguam Negara sebelum dibentang ke Jemaah Menteri.

“Akta ini (pindaan) berupaya memainkan peranan sebagai kawal selia lebih tegas dan penting untuk memberi pengajaran kepada pesalah,” lapor portal Berita Harian hari ini.

Akta 655 yang dikuatkuasakan sejak 1 Januari 2008 memperuntukkan kawal selia meliputi ekonomi, teknikal, sosial serta perlindungan hak pengguna.

Gesaan terhadap pindaan akta tersebut bermula sejak 2020 oleh pelbagai pihak, termasuk aktivis alam sekitar dalam usaha memastikan pesalah alam sekitar dikenakan hukuman lebih berat.

Pada November 2020, Kerajaan Negeri melaksana pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) selepas gangguan bekalan air kerap berlaku akibat pencemaran sungai yang menyebabkan loji rawatan air dihenti tugas.

Pindaan tersebut antaranya menambah peruntukan penjara mandatori serta menaikkan jumlah denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta selain mengarahkan pesalah membayar kos kerja pembersihan.


Pengarang :