Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas murah sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) Mega Tahun Baharu Cina di Kompleks 3k, SS13, Subang Jaya pada 9 Febuari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKPS pelawa usahawan edar produk Ehsan, bantu tambah pendapatan

SHAH ALAM, 16 FEB: Usahawan dan peniaga sekitar Selangor dipelawa menjadi pengedar produk jenama Ehsan keluaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Pengurus kanan pemasaran PKPS (Produk OEM dan Eksport) berkata permohonan dibuka sehingga Mei ini kepada peniaga persendirian dan koperasi berdaftar di Selangor.

Md Fazir Abdul Latif berkata barangan yang akan ditawarkan kepada pengedar melibatkan 30 hingga 50 unit penyimpanan stok (SKU) termasuk barangan asas seperti beras, tepung gandum dan minyak masak.

“Kita sasarkan 40 pengedar tahun ini yang menepati beberapa kriteria seperti telah ada pengalaman berniaga, mempunyai premis dan berada di lokasi yang mempunyai ramai B40.

“Pengedar akan mendapat tawaran harga istimewa daripada PKPS dan potongan yang akan diberikan kepada pelangan adalah sebanyak 10 hingga 15 peratus,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut katanya objektif PKPS melantik pengedar adalah bagi membuka peluang kepada usahawan daripada pelbagai peringkat untuk menambah produk jualan.

“Ia sekali gus bakal menambah pendapatan mereka di samping memperluas pasaran produk jenama Ehsan di Selangor,” katanya.

PKPS sebelum ini memaklumkan produk jenama Ehsan menjadi pilihan pengguna sepanjang program Jualan Ehsan Rahmah (JER).

Barangan seperti tepung gandum, bihun, sos tomato, sos tiram, kaya pandan, kaya madu, sardin dan cili giling antara barangan yang menjadi pilihan pengguna.


Pengarang :