Ketua Pegawai Eksekutif PNSB Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim (tengah) menyerahkan replika kunci simbolik penyerahan van jenazah kepada Nazir Masjid Jamiul Hasaniah, Akmal Auzai (dua, kiri) di Kampung Batu Tiga Kapar, Klang pada 16 Februari 2024. Foto Permodalan Negeri Selangor Berhad
AGENSISELANGOR

PNSB sumbang van kepada sebuah masjid, mudahkan pengurusan jenazah

SHAH ALAM, 16 FEB: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) menyumbang sebuah van jenazah bernilai RM147,643 kepada Masjid Jamiul Hasaniah Kampung Batu 3, Kapar hari ini.

Penyerahan van berkenaan disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif PNSB Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim kepada Nazir Masjid Jamiul Hasaniah Akmal Auzai di pekarangan masjid tersebut.

Menurut Raja Ahmad Shahrir, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada program Wakalah Agihan Zakat anjuran bersama PNSB dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“PNSB selaku pengeluar zakat dilantik sebagai wakil LZS untuk mengagihkan sendiri zakat dengan pemantauan LZS berdasarkan kepada prinsip agihan zakat.

“PNSB berbesar hati kerana berpeluang menyantuni para penerima zakat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berharap van berkenaan memudahkan urusan fardu kifayah dan dimanfaatkan masyarakat yang memerlukan untuk pengurusan jenazah.

PNSB merupakan anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri di bawah seliaan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI yang menumpukan pembangunan hartanah sebagai perniagaan teras dengan membangun kediaman dan komersial.


Pengarang :