AGENDAJENAYAH

Polis selamatkan wanita, kanak-kanak perempuan, disyaki dipaksa melacur

SHAH ALAM, 23 FEB: Serbuan ke atas sebuah lot kedai menyelamatkan seorang wanita dan kanak-kanak perempuan yang disyaki dipaksa melacur dalam operasi di Banting, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata operasi 3 petang itu mendapati premis tersebut diubah suai dan dijadikan empat bilik menggunakan langsir.

Beliau berkata premis berkenaan telah menjalankan aktiviti persundalan itu kira-kira dua bulan dengan menyasarkan warga asing sebagai pelanggan.

”Semasa serbuan kita menahan seorang wanita tempatan yang berperanan sebagai ibu ayam dan dua wanita Indonesia yang bekerja sebagai pelacur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Serbuan itu juga berjaya menyelamatkan wanita tempatan berusia 25 tahun dan kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun, disyaki dipaksa melacur,” katanya.

Ahmad Ridhwan berkata polis turut menemukan bayi perempuan 11 bulan yang merupakan anak kepada wanita berusia 25 tahun itu dan seorang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun.

“Status kanak-kanak lelaki dan perempuan (11 tahun) itu masih dalam siasatan,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Telok Datok, Banting untuk direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara minimum lima tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

– BERNAMA


Pengarang :