AGENDAJENAYAH

Polis tahan lelaki positif dadah, pukul ibu guna kayu hingga cedera

CHUKAI, 9 FEB: Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki memukul ibunya hingga cedera dalam kejadian di Kampung Baru, Felda Neram 1, Jabor, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata lelaki berusia 48 tahun itu ditahan kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian pada 2.30 petang tadi.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian menerusi talian MERS 999 daripada seorang petugas Unit Ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah, Kuantan, Pahang yang memberi rawatan kepada mangsa yang berusia 64 tahun.

“Mangsa mengalami luka di bahagian tangan dan belakang badan kerana dipercayai dipukul dengan kayu oleh anaknya yang mengamuk di rumah mereka, kira-kira 9 pagi tadi.

“Mangsa mendapat rawatan awal di Klinik Kesihatan Cheneh dan telah dirujuk ke Hospital Kemaman,” katanya dalam kenyataan hari ini sambil menambah punca kejadian masih dalam siasatan polis.

Hanyan berkata lelaki itu positif terhadap dadah serta memiliki dua rekod lampau mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 323 kanun sama kerana mendatangkan kecederaan terhadap mangsa.

— BERNAMA


Pengarang :