AGENDAJENAYAH

Polis tahan lelaki pukul ibu guna rotan, ugut letup tong gas dalam rumah

GEORGE TOWN, 14 FEB: Seorang lelaki berjaya ditahan apabila tiga jam dipujuk selepas bertindak memukul ibunya dan mengancam mahu meletupkan tiga tong gas petroleum cecair (LPG) dalam kejadian di rumah pangsa di Jalan Gangsa, di sini malam tadi.

Lelaki berusia 45 tahun yang berada di bawah pengaruh dadah itu pada mulanya dikatakan mengamuk dan dipercayai memukul ibunya berusia 70-an menggunakan rotan sebelum kejadian disedari jiran lalu menghubungi polis kira-kira 9.30 malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Lee Swee Sake berkata anggotanya bergegas ke rumah berkenaan untuk pemeriksaan lanjut dan menyelamatkan wanita warga emas itu.

“Pihak bomba turut berada di lokasi kejadian selepas lelaki itu mengancam mahu meletupkan tong LPG.

“Selepas lebih dua jam dipujuk, lelaki terbabit masih enggan melepaskan ibunya, malah mengugut untuk terjun dari tingkat 11 rumahnya itu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Lee berkata beliau yang kemudian tiba di lokasi itu mengambil masa lebih sejam untuk memujuk lelaki berkenaan sehingga lelaki itu mempercayainya dan melepaskan ibunya keluar dari rumah.

Menurut Lee beliau juga mengambil risiko masuk ke dalam rumah itu kerana bimbang lelaki terbabit terus bertindak agresif dan menyalakan api menggunakan pemetik api yang ada bersamanya.

“Pada mulanya lelaki itu enggan berkomunikasi dengan saya, namun selepas saya bercakap menggunakan bahasa Hokkien, dia mula lembut hati. Selepas lebih sejam memujuknya, lelaki itu melepaskan ibunya keluar dari rumah.

Beliau berkata polis kemudian berjaya menahan lelaki itu tanpa sebarang kecederaan, manakala ibunya yang cedera dihantar ke Hospital Pulau Pinang.

Rumah itu, katanya didiami tiga beranak iaitu lelaki berkenaan, ibu serta adik perempuannya, namun ketika kejadian wanita berusia 30-an itu tiada di rumah kerana sedang bekerja.

Lelaki itu didapati positif terhadap syabu dan mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan dadah serta jenayah.

“Difahamkan lelaki itu tidak mempunyai pekerjaan tetap dan kadang kala bertindak agresif kerana pengaruh dadah,” katanya menambah lelaki itu direman hingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA


Pengarang :