Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan pengunjung Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 9 Disember 2023. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kuala Selangor 23 hingga 25 Februari

PUTRAJAYA, 10 FEB: Program Madani Rakyat Zon Tengah akan diadakan di Kompleks Sukan Kuala Selangor, Selangor selama tiga hari bermula 23 Februari ini.

Sekretariat Program Madani Rakyat dalam kenyataan hari ini memaklumkan program bertujuan memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk bersama-sama memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif baharu yang dilaksanakan Kerajaan Madani dalam usaha meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

“Program Madani Rakyat merupakan wadah untuk masyarakat mendapatkan perkhidmatan secara terus daripada kementerian di peringkat Kerajaan Persekutuan dan agensi peringkat negeri, di samping memberi peluang kepada masyarakat umum mengemukakan pandangan dan cadangan untuk menambah baik mutu perkhidmatan.

“Ia juga mewujudkan saluran komunikasi berterusan antara masyarakat dengan kerajaan, sekali gus memperkukuhkan hubungan dalam usaha membina negara yang lebih sejahtera selaras dengan agenda Malaysia Madani,” menurut kenyataan itu.

Pengunjung cilik tidak melepaskan peluang melihat sendiri aset ketenteraan dengan lebih dekat serta bergambar bersama anggota tentera dan aset yang dipamerkan di reruai pertahanan dan keselamatan negara pada Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Disember 2023. Foto BERNAMA

Menurut Sekretariat Program Madani Rakyat, program itu memberi tumpuan kepada aktiviti yang berkaitan dengan pertanian dan keterjaminan makanan, program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta program kesejahteraan rakyat, selain pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor khususnya.

Program anjuran Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kerajaan Selangor itu merangkumi Selangor, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menurut kenyataan itu, proram tersebut turut melibatkan kerjasama strategik syarikat berkaitan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak swasta.

Turut diadakan ialah Jualan Agro dan Mega Madani yang menawarkan potongan harga dan tawaran istimewa serta pameran aset kerajaan sepanjang program berlangsung.

Orang ramai menukar topi keledar lama kepada topi keledar baharu secara percuma yang disediakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 8 Disember 2023. Foto BERNAMA

Majlis penutupan Program Madani Rakyat Zon Tengah bakal disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Februari ini yang akan turut dihadiri kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Program Madani Rakyat adalah kesinambungan daripada Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember lalu.

“Orang ramai dijemput untuk bersama-sama memeriahkan Program Madani Rakyat Zon Tengah dari 23 hingga 25 Februari ini dari 9 pagi hingga 10 malam,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :