Ribuan pengunjung hadir di Stadium Nasional Bukit Jalil pada hari terakhir Program Setahun Bersama Kerajaan Madani pada 10 Disember 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Program Madani zon tengah sedia pelbagai khidmat kerajaan, inisiatif negeri

SHAH ALAM, 22 FEB: Pelbagai perkhidmatan kerajaan dan aktiviti menarik disediakan pada Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor, bermula esok hingga Ahad ini.

Ketua Komunikasi Korporat, Unit Komunikasi Korporat Jabatan Perdana Menteri Zulhazri Abu Bakar berkata sempena program itu, pengunjung berpeluang mendapatkan perkhidmatan agensi kerajaan secara terus dan mudah.

“Sepanjang program itu, kita bergerak sebagai kerajaan secara keseluruhan, mudah dan lajukan perkhidmatan pada rakyat. Ia juga sebagai pusat sehenti, bagi memudahkan urusan rakyat bersama jabatan awam.

“Maknanya apabila rakyat datang ke situ, dia boleh bercakap dengan pegawai berkaitan dan dapatkan keputusan (yang dikehendaki) dengan segera. Tidak lagi perlu nak telefon, e-mel dan sebagainya,” katanya ketika ditemubual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1 sempena Program Madani Rakyat 2024.

Selain itu katanya pengunjung juga boleh membeli-belah di Jualan Agro Madani yang menawarkan diskaun dan pelbagai promosi menarik.

“Rakyat boleh menikmati kombo serendah RM10 dan macam-macam lagi, selain tawaran minyak masak dan ayam daging dengan harga yang lebih kompetitif serta jimat.

“Ini antara inisiatif kerajaan bagi membantu rakyat menangani sedikit inflasi,” katanya dan menambah maklumat terkini berkaitan bantuan disediakan kerajaan juga boleh diperolehi di program tersebut.

Dalam pada itu, Penyelaras Program Kerajaan Negeri Selangor, Mohd Hidayat Mohd Sauffi menerusi temu bual di Selangor FM, memaklumkan antara program menarik anjuran Kerajaan Negeri ialah Kita Selangor Love Food Fest, Darul Ehsan Berselawat Daerah Kuala Selangor, Program Subuh Macam Jumaat di Masjid Jamek Sultan Ibrahim di Kuala Selangor, jalan kaki ria dan cabutan bertuah.

Beliau berkata 31 program di bawah Inisiatif Iltizam Selangor Penyayang juga akan dibawa secara terus kepada rakyat di reruai Kerajaan Negeri.

“Pelbagai inisiatif Kerajaan Negeri seperti pendaftaran Skim Rumah Idaman, Skim Insurans Am Selangor (INSAN), Program Usahawan PLATS, Perumahan Mampu Milik (Rumah Selangorku), Skim Air Darul Ehsan (SADE), Bantuan Sihat Selangor dan banyak lagi khusus untuk rakyat Selangor.

“Kami turut membawakan saringan kesihatan secara percuma kepada semua pengunjung,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :