Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek (dua kanan) bersama Pengarah Lembaran Prospek Sdn Bhd Dato’ Ishak Mohamed (dua kiri) menunjukkan dokumen pada Majlis Menandatagani Kontrak Pembangunan Stadium Shah Alam sambil diperhatikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) di pejabat MBI, Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 6 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Projek bangunkan stadium bermula hari ini, patuhi piawaian PBT

SHAH ALAM, 6 FEB: Projek pembangunan Kompleks Stadium Shah Alam (KSSA) bermula hari ini dalam beberapa fasa, umum Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Dalam kenyataannya, MBI memaklumkan projek dimulakan dengan fasa praperobohan, iaitu memasang adang (hoarding) dan kerja persediaan lain dijangka selama tiga bulan.

Jelasnya, proses itu disusuli perobohan terkawal bangunan stadium menggunakan kaedah lazim atau konvensional tanpa bahan letupan pada Jun ini, yang dianggar mengambil masa setahun.

“Kaedah ini dijamin mengikut garis panduan keselamatan dan syarat ditetapkan pihak berkuasa berkaitan,” maklum pemerbadanan itu hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) sempena pameran awam pembangunan semula KSSA di SACC Mall, Shah Alam pada 10 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar dalam kenyataan sama menjelaskan MBI bekerjasama dengan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) untuk melaksanakan pelan mitigasi komprehensif.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, rancangan berkenaan bagi menangani sebarang dampak yang mungkin dialami pemegang taruh semasa perobohan dijalankan.

“MBI dan MRCB sentiasa patuh kepada kehendak pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengawal kerja perobohan yang akan mengakibatkan pencemaran udara, bunyi dan gegaran di kawasan sekeliling.

“Langkah-langkah ini akan dikongsikan kepada pihak berkaitan sepanjang perobohan,” katanya.

Dalam pada itu, MBI memaklumkan Lembaran Prospek Sdn Bhd, anak syarikat MRCB Land Sdn Bhd dilantik untuk melaksanakan kerja perobohan, sementara pembangunan KSSA melibatkan perjanjian berasingan.

Terdahulu, MBI diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Norita Mohd Sidek menandatangani kontrak pembangunan Stadium Shah Alam bersama Lembaran Prospek Sdn Bhd di sini, yang disaksikan Amirudin.


Pengarang :