Reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang dipamerkan sempena Hari Jersi Selangor dan Pameran Awam Pembangunan KSSA di SACC Mall, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Projek pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam siap sepenuhnya 2029

SHAH ALAM, 6 FEB: Projek pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) membabitkan tiga fasa dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029, kata pengurus besar unit projek khas Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Datuk Ir Ruslan Abdul Aziz berkata fasa pertama membabitkan proses perobohan dan pembinaan semula Stadium Shah Alam telah bermula bulan ini dan dijangka selesai pada Disember 2026.

“Proses perobohan stadium sedia ada telah bermula dan dijangka selesai pada Mac tahun hadapan. Proses seterusnya ialah pembangunan stadium yang dilengkapi dengan ruang perniagaan serta plaza parkir yang dijangka siap pada Disember 2026.

“Bagi fasa kedua pula dijadual bermula pada Januari 2027 membabitkan teater tertutup, sayap sukan dan belia serta kawasan rekreasi sementara fasa terakhir untuk pembinaan terminal bersepadu dan hotel dijangka dimulakan Januari 2028 hingga Disember 2029,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis menandatangani kontrak pembangunan Stadium Shah Alam antara MBI dan Lembaran Prospek Sdn Bhd di pejabat MBI Bangunan Darul Ehsan yang dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Pada majlis tandatangan itu, MBI diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Norita Mohd Sidek manakala Lembaran Prospek Sdn Bhd diwakili pengarahnya, Dato’ Ishak Mohamed dengan disaksikan Amirudin dan barisan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Terdahulu, MBI dalam kenyataan memaklumkan projek membangunkan stadium itu dimulai dengan fasa praperobohan seperti memasang adang (hoarding) dan kerja-kerja persediaan lain yang dijangka mengambil masa tiga bulan.

Seterusnya, ia diikuti kerja-kerja perobohan terkawal bangunan stadium yang dianggarkan bermula Jun depan dan dijangka siap dalam tempoh setahun.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri bakal membina kompleks sukan baharu bagi menggantikan kemudahan sedia ada di Seksyen 13, Shah Alam yang perlahan-lahan rosak akibat banjir mulai 2006.

Bencana itu, termasuk pada 2013 dan 2021, mengakibatkan kerosakan padang, sistem pendawaian, bilik bekalan elektrik, bilik persalinan dan aras bawah stadium selain aspek keselamatan terjejas.

Kompleks di tanah seluas lebih 80 hektar bakal meliputi pelbagai kemudahan untuk orang awam berekreasi selain mengadakan kegiatan komersial antaranya:
– 40 peratus kawasan rekreasi awam, 60 peratus untuk sukan
– ada gelanggang indoor, dewan serba guna, hotel, masjid, ruang acara dan ruang jualan
– sedia ruang sewa bagi biayai kos selenggara

Ciri-ciri lain kompleks itu seperti berikut:
– stadium bertaraf antarabangsa
– kapasiti 35,000 ke 45,000 penonton
– ambil kira penyuraian aliran trafik
– hubung pengangkutan awam seperti LRT
– atasi kemungkinan banjir
– boleh berfungsi kendali pelbagai acara, termasuk konsert


Pengarang :