EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim mendengar taklimat dari pihak Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) sebelum meninjau aktiviti kapal penggorek melakukan kerja mendalamkan dan pembersihan sungai di Zon 6, Sungai Klang, Shah Alam pada 8 Febuari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Projek pulih Sungai Klang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2028

SHAH ALAM, 8 FEB: Projek pemulihan Sungai Klang membabitkan kerja pembersihan, pendalaman dan pelebaran dijangka siap sepenuhnya menjelang 2028.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata selain meningkatkan kualiti air, projek tersebut meningkatkan kapasiti tampungan Sungai Klang sebanyak 40 peratus sekali gus mengurangkan risiko banjir.

“Projek pemuliharaan sungai ini penting dalam usaha mengukuhkan keterjaminan air Selangor dan melindungi rakyat serta ekonomi daripada kesan banjir dan kemarau.

“Bagaimanapun kita turut berdepan cabaran kerana terlalu banyak sampah di dasar sungai sehingga menyukarkan usaha membersihkan sungai,” katanya ketika ditemui selepas melawat tapak Zon 8 Sungai Klang di sini, hari ini.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim meninjau aktiviti kapal pengorek melakukan kerja mendalamkan dan pembersihan sungai di Zon 6, Sungai Klang, Shah Alam pada 8 Febuari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Izham menambah, pelaksana projek mengumpulkan hampir 100 tan sisa di Sungai Klang dengan lebih separuh daripada kedalamannya hanya dipenuhi sampah.

“Jumlah sampah yang tinggi termasuk barangan besar seperti tayar dan perabot serta sisa buangan seperti plastik menjejaskan keadaan teknikal jentera pengorek dan menyebabkan gangguan terhadap operasi hariannya,” katanya.

Izham berkata pihaknya bercadang memasang perangkap sampah di semua anak sungai bagi mengekalkan kebersihan Sungai Klang pada masa akan datang.

Selain itu, katanya, beliau turut berhasrat mengadakan pertemuan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berikutan kedudukan Sungai Klang yang berada di hilir dan sempadan ibu kota.

“Kita tidak mahu asyik melakukan projek seperti ini kerana ia memerlukan dana yang besar. Kita perlu kawal dan cegah dari awal supaya Sungai Klang tidak terus tercemar,” katanya.

Projek pemuliharaan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer dilaksanakan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) bawah projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) dengan anggaran kos RM700 juta.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim meninjau aktiviti kapal pengorek melakukan kerja mendalamkan dan pembersihan sungai di Zon 6, Sungai Klang, Shah Alam pada 8 Febuari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :