Penduduk menyertai program Rewang Sekampung sempena Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) peringkat daerah Gombak di Dewan Beringin, Taman Sri Gombak pada 14 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pupuk amalan tradisi, program rewang dua hari di PPR Pandan Indah

SHAH ALAM, 20 FEB : Kerajaan Negeri menganjurkan program rewang di projek perumahan rakyat (PPR) Pandan Indah, Ampang Jaya pada hujung minggu ini.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata program dikenali Rewang Komuniti Strata selama dua hari satu malam itu dimeriahkan dengan aktiviti sukaneka selain menghebahkan inisiatif yang disediakan negeri untuk rakyat.

“Kita akan rewang selama dua hari. Kita akan bergotong-royong memasak kenduri melibatkan semua penduduk. Dalam masa sama ia memberi peluang kepada kita untuk dekat dengan rakyat serta mendengar isu setempat.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah bercakap kepada media selepas majlis Perasmian Seminar Mekanisma Pemilikan Hartanah Harga Kawalan Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 20 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya sendiri akan bermalam di PPR untuk merasai kehidupan mereka. Insya-Allah Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari juga akan turun padang untuk bertemu penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Mekanisme Pemilikan Hartanah Harga Kawalan Negeri Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Borhan berkata sejumlah RM500,000 diperuntuk untuk menganjurkan Rewang Komuniti Strata tahun ini di beberapa lokasi di seluruh negeri.

“Setiap program mungkin kita belanja sekitar RM70,000 ke RM100,000 bergantung kepada kawasan. Insya-Allah, selepas ini kita akan ke Selayang, Subang Jaya dan beberapa lagi kawasan yang akan disenaraikan nanti,” katanya.

Pada 18 November tahun lepas, Borhan berkata Ampang dan Hulu Langat yang dipilih sebagai kawasan perintis Rewang Komuniti Strata

Jelas beliau, program itu akan menjadi acara tahunan melibatkan semua kawasan strata di Selangor jika mendapat sambutan.

 


Pengarang :