HULU SELANGOR, 22 FEB: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenaan melakukan demonstrasi gunting rambut pada Program Eksplorasi Gagasan Rumpun Selangor di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak di sini.
Tengku Amir Shah mencuba teknik ‘hair clipper’ (mesin gunting) untuk menggunting rambut replika yang biasa digunakan pelatih kursus Sijil Perekaan Gaya Rambut ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di institusi itu.
Terdahulu Raja Muda berkenaan melawat institusi berkenaan dan beramah mesra dengan tenaga pengajar dan pelatih di situ.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/02/image_6487327-24-500x341.jpg.webp)
Petang ini Tengku Amir dijadual mencemar Duli ke Santuari Ikan Sungai Chiling sebelum berangkat ke Majlis Perasmian Gagasan Rumpun Selangor di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Kuala Kubu Bharu malam ini.
Eksplorasi Gagasan Rumpun Selangor turut melibatkan program lain seperti Karnival Perpaduan Rumpun Selangor peringkat Hulu Selangor di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Kuala Kubu Bharu.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan Selangor 2024 memperkenalkan Gagasan Rumpun Selangor bagi meraikan kepelbagaian dan menyemarak semangat perpaduan di negeri ini.
Amirudin berkata program tersebut diadakan di sembilan daerah dengan peruntukan RM4.5 juta.