Thailand menutup pintu sempadan antara Malaysia sebagai usaha menyekat penularan Covid-19. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rakyat Malaysia diingatkan patuhi had laju ketika memandu di Thailand

YALA (THAILAND), 26 FEB: Rakyat Malaysia yang melawat atau melancong ke Thailand dengan kenderaan sendiri, diingatkan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dengan memandu pada had kelajuan ditetapkan negara itu iaitu 90 kilometer sejam (kmj) sahaja.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, berkata pihaknya mengalu-alukan kedatangan rakyat Malaysia di negara jiran itu untuk pelbagai tujuan seperti perniagaan, pendidikan atau melancong.

“Namun begitu dalam masa sama, kita ingin mengingatkan kembali rakyat Malaysia yang ingin ke Thailand supaya sentiasa mematuhi undang-undang negara berkenaan.

“Sebagai contoh, apabila berada di jalan raya Thailand, janganlah memandu kereta terlalu laju atau melulu sebab di Thailand ini, had laju ditetapkan kerajaannya hanyalah sekitar 90kmj dan bukannya 110kmj seperti di Malaysia.

“Malah, lebuh raya di Thailand juga berbeza kerana mempunyai banyak laluan yang membolehkan kenderaan membuat pusingan U dan disebabkan itu, banyak motosikal rakyat negara jiran itu melintas dan membuat pusingan-U sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya membabitkan pengguna jalan raya dari Malaysia yang tidak begitu memahami had laju di Thailand ini,” katanya.

Ahmad Fahmi berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Hari Melayu atau ‘Malay Day’ di Sanam Chang Phueak Park, Yala di sini, lapor Berita Harian.

Beliau berkata, pihaknya melihat ketidakfahaman terhadap undang-undang jalan raya Thailand juga menjadi antara faktor ramai rakyat Malaysia terbabit dalam kemalangan di Thailand.

“Selain itu juga, kami ingin mengingatkan rakyat Malaysia yang membawa kenderaan ke Thailand, perlu mengembalikan semula borang deklarasi kenderaan kepada Jabatan Kastam Thailand semula ketika meninggalkan negara ini untuk memasuki Malaysia.

“Situasi berlaku ketika ini ramai rakyat Malaysia terlupa menyerahkan semula borang deklarasi kenderaan mereka pada Kastam Thailand atau tersalah kaunter ketika menyerahkan borang itu apabila menyerahnya kepada Imigresen Thailand,” katanya.

Ahmad Fahmi berkata, keadaan yang berlaku menyebabkan rekod yang ada pada Kastam Thailand menunjukkan kenderaan negara ini berada lebih masa di negara itu.

“Jika situasi itu berlaku, Kastam Thailand menganggap kita tinggal lebih masa apabila tiada rekod menyatakan kita sudah meninggalkan negara itu. Kesilapan menyerahkan borang deklarasi itu kepada kaunter Imigresen Thailand juga turut boleh menyebabkan tiada wujud data kita meninggalkan negara itu disebabkan Imigresen tidak (membantu) menyerahkan borang deklarasi itu kepada kaunter Kastam.

“Sekiranya itu berlaku, rakyat Malaysia boleh didenda 1,000 Thai Bhat (RM132.70) sehari bermula pada tarikh luput penyerahan borang deklarasi kenderaan,” katanya.


Pengarang :