BUDAYARENCANA

Ratapan Theo Angelopoulos dalam Trilogi Sempadan

Oleh Kubrivsky

Pertama kali saya mengenali Theo Angelopoulos  adalah ketika diperkenalkan terhadap gerakan “Slow Cinema” melalui pensyarah saya, Dr.Fauzi Naeim. Ketika itu, saya baru sahaja mengenali filem-filem arahan sutradara Soviet, Andrei Tarkovsky seperti Nostalghia dan Stalker. Kemudian, saya cuba mencari nama-nama sutradara lain untuk mengembangkan lagi ilmu tentang perihal gerakan “Slow Cinema” ini. Melalui laman “Taste of Cinema” saya terjumpa beberapa senarai filem terbaik dalam gerakan tersebut antaranya Theo Angelopoulos.

Angelopoulos adalah sutradara kelahiran Greece yang merupakan salah satu nama berpengaruh dalam gerakan “Slow Cinema” ini. Angelopoulos juga pernah memenangi anugerah Palme’d Or di Festival Filem Antarabangsa Cannes dengan filemnya, Eternity and a Day pada tahun 1998. Saya sudah hampir khatam menonton filem arahan Angelopoulos yang bermula daripada Reconstruction hinggalah ke The Dust of Times dan menyukai hampir kesemuanya tetapi malangnya, saya juga mengetahui Angelopoulos pergi meninggalkan kita sebelum dapat menyiapkan filem terakhirnya iaitu The Other Sea.

Apabila saya menonton filem-filem Theo Angelopoulos, saya tahu yang saya akan dibuai dengan alunan muzik Eleni Karaindrou yang penuh dengan elemen mediterranean beserta dengan syot luas lanskap Greece dan negara-negara Balkan. Saya perasan, sutradara ini akan menarik saya untuk menyelami sejarah dan juga mitos Yunani purba daripada kaca mata seseorang yang berfahaman Marxist. Daripada era pemerintahan Metaxas sehingga ke krisis ekonomi Greece pada 2012, Angelopoulos mengajak saya melihat refleksinya terhadap isu-isu tersebut dengan penuh puitis.

Dia ibarat memerangkap saya untuk merasai peredaran masa yang berserpihan dan melihat bagaimana masa seperti pedang yang mula memotong kita yang ketinggalan. Namun, saya dapati bahawa filem-filem Angelopoulos ini selalunya tergantung tanpa penyelesaian yang memuaskan kepada watak-wataknya. Sama ada kisah sepasang adik beradik yang ingin mencari bapanya di Jerman atau seorang penyair yang ingin menghabiskan sajak yang ditulis oleh seorang sasterawan kurun ke-19, filem Angelopoulos tidak langsung memberi jawapan kepada nasib-nasib mereka dan menyerahkan segalanya kepada interpretasi penonton.

Sepanjang pengembaraan saya bersama Angelopoulos, saya mendapat tahu bahawa sutradara ini kerap melahirkan trilogi filem dengan tema-tema tertentu antaranya Trilogy of Silence yang mendalami kesepian dunia buat mereka yang menantikan sesuatu perubahan untuk berlaku dan Trilogy of History yang merupakan interpretasi semula sejarah Greek di dalam kehidupan semasa. Trilogy Angelopoulos yang menarik perhatian saya ialah Trilogy of Border yang merangkumi filem seperti Suspended Step of a Stork, Ulyssess’s Gaze dan Eternity and a Day.

Seperti judul-judul itu, keseluruhan trilogi ini adalah ratapannya terhadap sempadan dan isu pelarian. Ketika trilogi ini dilahirkan pada era 90-an, Perang Balkan sedang berlaku dek perpecahan negara Yugoslavia. Semangat nasionalis bangsa Serbia mula memuncak ditiup oleh Slobodan Milosevic yang mengakibatkan persengketaan antara suku kaum di negara-negara Persekutuan Yugoslavia, lantas meletuslah pembersihan etnik.

Oleh itu, ramai warga negara tersebut mencari suaka politik di Greece dengan harapan mencari kehidupan yang lebih baik atau dapat pulang semula ke negara asal apabila perang sudah tamat. Namun, dalam perjalanan ke sana, perlu mereka merentasi sempadan yang dikawal ketat, juga merentas ombak badai yang tiada belas kasihan. Jika terselamat sekalipun, tiada jaminan yang mereka akan terus dapat masuk ke negara itu. Malam mereka, hanya di “rumah sementara” sebelum dibenarkan masuk ke Greece.

Filem The Suspended Step of a Stork bermula dengan penemuan mayat seorang pelarian berketurunan Asia yang terapung di perairan Greece. Di sini, Angelopoulos memberitahu saya bahawa di lautan, tiada sempadan dan tiada sesiapa pun boleh mengawal secara menyeluruh setiap kawasan perairan mereka. Hanya beberapa kilometer dari tanah besar negara tersebut sahaja dibenarkan untuk dikawal dan selebihnya adalah melalui arbiterasi antarabangsa dan perlu dikongsi. Tiada undang-undang boleh dikuatkuasakan lantas menunjukkan sempadan itu tiada gunanya tatkala lautan meliputi sebahagian besar muka bumi ini.

Motif mayat pelarian yang terapung di lautan turut diulangi dalam filem Eternity and a Day apabila Alexander sedang duduk meratapi masa silamnya bersama isterinya yang sudah tiada. Laut dan perairan adalah motif utama dalam trilogi ini sama ada sebagai penghubung, pemisah ataupun sebagai lambang kesaksamaan alam semesta. Di laut antarabangsa, tiada dikenali bangsa, bahasa dan kenegaraan. Oleh itu, lautan tidak mempunyai kepastian mutlak, hanya ketidakpastian yang saksama. Setiap watak utama dalam filem Angelopoulos adalah Oddysseus (Ulysses dalam terjemahan Inggeris) dan pengembaraan mereka mendedahkan mereka tentang realiti dunia mereka.

Filem The Suspended Step of a Stork mengisahkan seorang wartawan yang menyiasat kehilangan seorang ahli politik Greece yang dipercayai tinggal di penempatan pelarian di sempadan Greece-Albania. Ulysses’ Gaze berkisah tentang seorang sutradara Amerika kelahiran Greece yang pulang selepas 35 tahun untuk mencari tiga gulungan filem daripada pengarah legenda Greece, Manakia bersaudara yang tidak pernah disiarkan. Eternity and a Day pula membawa kisah seorang penyair yang sedang sakit tenat dan juga seorang budak jalanan dari Albania yang berkelana di bandaraya Athens. Saya mendapati setiap watak ini mengembara merentasi sempadan atau menghampiri sempadan Greecce-Albania.

Filem-filem bawah Trilogy of Border ini adalah sebuah ratapan Theo Angelopoulos terhadap isu pelarian dan sempadan Greece ketika Perang Balkan. Pada hemat saya, Angelopoulos memandang permasalahan kemanusiaan yang diakibatkan oleh sempadan yang memisahkan hubungan sesama manusia. Sempadan boleh menyebabkan kita berperang sesama sendiri dan sempadan juga menyusahkan para pelarian untuk mencari perlindungan dari persengketaan negara asal. Manusia sanggup menempah maut untuk menyeberangi laut dan sempadan demi masa hadapan yang tidak tentu, yang mana mereka boleh mendapat hidup yang lebih baik atau sebaliknya.

Secara dasarnya, filem Tarkovsky dan Angelopoulos boleh dikatakan sama, namun daripada pandangan saya, filem Tarkovsky lebih berbentuk kerohanian manakala Angelopoulos pula, ketidakpastian. Ketidakpastian ini yang menjadikan filem-filem Angelopoulos berbeza daripada Tarkovsky. Saya sedar, segala konflik maha besar terhadap sempadan, terhadap pelarian dalam trilogy sempadan Angelopolous, bukanlah sekadar ratapan untuknya seorang diri, tetapi juga untuk kita bersama-sama meratapinya, memikirkannya, dan bergerak setakah ke hadapan menghadapi badai dunia.

 


Pengarang :