Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas program Jualan Termurah Madani dan Karnival Kesihatan di Pusat Khidmat Masyarakat Tanjung Karang, Kuala Selangor pada 25 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Realisasi jajaran rel kereta api wilayah utara negeri, pelan dibentang tahun ini

KUALA SELANGOR, 25 FEB: Segala usaha akan ditumpukan di wilayah utara negeri ini bagi merealisasikan Jajaran Rel Kita Selangor, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perbincangan sedang dilaksana bersama Kementerian Pengangkutan dan pelan keseluruhan pembinaan kereta api itu dijangka dibentangkan tahun ini.

“Pada penggal ini saya mahu laksanakan Jajaran Rel Kita Selangor, sekurang-kurangnya kemudahan pengangkutan awam berkenaan sampai ke Kuala Selangor.

“Saya sedang adakan perbincangan dengan kementerian dan tuan-tuan boleh duduk di sini dan bekerja di Kuala Lumpur dengan jarak perjalanan hanya satu jam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian program Jualan Termurah Madani peringkat Parlimen Tanjung Karang di Pusat Khidmat Masyarakat Tanjung Karang di sini, hari ini.

Pada pembentangan Belanjawan Selangor 2024 lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan pembinaan jaringan kereta api yang akan bermula dari Klang ke Kuala Selangor, Tanjong Karang, dan Sabak Bernam.

Terdahulu, Amirudin ketika menghadiri program santai makan tengah hari di Jalan Mayang Rotan Sawah Sempadan, Tanjung Karang berkata pentadbiran negeri berazam mengembalikan kepercayaan penduduk di wilayah utara.

Jelas beliau beberapa isu berbangkit antaranya mengenai kesuburan tanah sawah padi dan kemudahan jalan raya di sekitar Tanjung Karang akan diselesaikan.

“Semua perkara ini telah dibincangkan dalam mesyuarat pentadbiran negeri dan akan dikemukakan kepada kerajaan persekutuan. Dalam mesyuarat, kita sudah bangkitkan hal tanah padi ini.

“Bagi penambahbaikan sistem saliran air sawah dari Sabak Bernam hingga ke Tanjung Karang pula, kita jangkakan kos RM1 bilion.

“Itu semua kita akan perjuangkan supaya dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-11. Sudah sampai masanya kita naik taraf sistem saliran air dan dalam masa yang sama elakkan isu banjir,” katanya.

 


Pengarang :