Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

RM58.1 bilion tampung subsidi, insentif, bantuan berkait sara hidup rakyat

SHAH ALAM, 27 FEB: Sejumlah RM58.1 bilion diperuntuk menerusi Belanjawan 2024 bagi menampung subsidi, insentif dan bantuan berkait sara hidup rakyat kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Datuk Armizan Mohd Ali menjelaskan inisiatif yang dilaksanakan melalui peruntukan tersebut tidak termasuk yang telah dan akan dilaksanakan oleh pihak lain seperti badan korporat melalui tanggungjawab sosial korporat, badan bukan kerajaan dan Kerajaan Negeri.

Bercakap dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan bagi menampung kos sara hidup rakyat termasuk program Jualan Rahmah Madani dan Jualan Agro Madani.

“Selain itu Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah, inisiatif FlySiswa dan skim harga diskaun tiket musim perayan.

“Inisiatif lain program MyLesen, pas bulanan tanpa had My50 dan Skim Perubatan Madani,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu yang ingin tahu insiatif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) untuk tangani kos sara hidup.

Armizan berkata terdapat tujuh jawatankuasa kerja kluster di bawah NACCOL dipengerusikan tujuh kementerian meliputi kluster makanan, perumahan, pendidikan, pengangkutan, utiliti, kesihatan dan pendapatan.

“Melalui NACCOL kerajaan memastikan setiap penggubalan dasar dan program yang dilaksanakan melalui kementerian dan agensi memberikan pertimbangan terhadap elemen kos sara hidup.

“Mengambil kira kos sara hidup bergantung kepada faktor permintaan dan penawaran dalam sistem ekonomi pasaran terbuka, pemantauan dilakukan terhadap faktor pasaran dan aktiviti sektor swasta serta industri termasuk pengaruh besar iklim serta ekosistem pasaran global.

“Selain penggubalan dasar dan program utama merentasi pelbagai kementerian, pendekatan berbentuk intervensi dan mitigasi juga dilaksanakan dalam menangani pelbagai isu dan kesan berkaitan kos sara hidup termasuk menggalakkan penglibatan pelbagai pemegang taruh,” katanya.


Pengarang :