EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohamad Fahmi Ngah menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 15 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Rujuk jabatan agama, jangan terpengaruh individu mengaku cicit Rasulullah

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 25 FEB: Umat Islam di negeri diingatkan berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan individu yang mengaku dirinya keturunan Nabi Muhammad SAW.

EXCO agama berkata orang ramai perlu merujuk dengan Jabatan Agama Islam Selangor atau Jabatan Mufti khususnya berhubung isu Mawla Mohamed Amin Al-Hassani yang mendakwa dirinya adalah cicit Rasulullah.

“Kita hidup di waktu maklumat boleh diperoleh pada hujung jari. Kita juga mempunyai agensi agama Islam negeri untuk mudahkan masyarakat membuat aduan dan rujukan atau panduan mengenai perkara seperti ini.

“Andainya rujukan rasmi ini tidak dibuat, maka umat Islam akan mudah diperdaya, dipengaruhi, dimanipulasi dan akan lebih taksub dengan pihak-pihak tertentu.

“Saya menyeru agar kita semua kembali kepada asas ilmu dan fakta agar kesucian agama Islam itu dapat dikekalkan dan dihormati.,” kata Dr Fahmi Ngah menerusi kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi pihak yang cuba menimbulkan keraguan dan fitnah dalam kalangan masyarakat Islam negeri ini.

“Kita akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dan mengusahakan tindakan bersama dengan Jabatan Imigresen Malaysia untuk menghalang kemasukan anasir sebegini ke Selangor,” katanya.


Pengarang :