Pemain JDT Muhammad Akhyar Abdul Rashid (dua, kanan) meraikan gol ketika menentang Penang FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada 16 Disember 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Safawi, Akhyar sertai Terengganu FC, perkuat jentera skuad penyu

KUALA TERENGGANU, 12 FEB: Impian penyokong pasukan Terengganu FC (TFC) untuk melihat dua bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) beraksi bersama skuad penyu menjadi kenyataan.

Ia susulan pengumuman TFC mengesahkan Safawi Rasid dan Akhyar Rashid bakal menyertai pasukan itu secara pinjaman selama setahun pada musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), Mohd Sabri Abas berkata kehadiran dua pemain Harimau Malaya itu diharap mampu memperkuat jentera TFC bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga-M) yang panjang.

Beliau berkata kedua-dua pemain itu memiliki pengalaman luas beraksi bukan sahaja di peringkat tempatan malah turut menyerlah di peringkat antarabangsa.

“Peminat bola sepak Terengganu sudah lama menantikan kehadiran dua bintang ini yang memiliki kehebatan dan reputasinya tersendiri. —

“Alhamdulillah, semua urusan pinjaman dua pemain ini telah selesai dan mereka bakal menyertai sesi latihan bersama rakan sepasukan tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, Safawi yang akan bermain di posisi sayap dan tengah bakal menyarung jersi bernombor 11 manakala jersi bernombor 33 akan disarung Akhyar yang bakal mengemudi bahagian sayap TFC.

Safawi Rasid merangkul Anugerah Penyerang Terbaik pada Anugerah Bola sepak Kebangsaan (ABK) 19 dalam majlis di sebuah hotel di Bangi, Selangor pada 15 November 2019. Foto BERNAMA

Safawi memulakan karier bola sepak secara profesional bersama T-Team pada 2014 hingga 2016 sebelum berhijrah ke JDT pada 2017.

Pada 2020, pemain berusia 27 tahun itu dipinjamkan ke kelab Portimonense SC di Portugal dan Rachaburi FC, Thailand pada 2023.

Akhyar pula memulakan kerjayanya bersama pasukan Kedah pada 2017 sebelum terbang ke selatan untuk bersama JDT pada 2019.

– BERNAMA


Pengarang :