EXCO Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berucap dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 28 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor lancar kempen keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan pada Mac

SHAH ALAM, 28 FEB: Kerajaan Negeri bakal melancarkan kempen keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan membabitkan peranan pelbagai pihak pada Mac depan.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata inisiatif itu diambil bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa selain mengelak insiden tidak diingini terhadap kanak-kanak berulang.

“Kita telah adakan pertemuan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 8 Februari lalu diikuti sesi libat urus bersama semua pemegang taruh antaranya Jabatan Kebajikan Malaysia pada 21 Februari.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri akan melancarkan kempen keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan pada 21 Mac yang akan melibatkan banyak pihak.

“Ini adalah keprihatinan kerajaan kerana sebab kematian kanak-kanak dalam kenderaan ibu bapa terlupa dan mengakibatkan mereka menanggung emosi yang berat. Ini sekali gus mewujudkan Selangor sebagai negeri penyayang,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Meru Mariam Abdul Rashid berhubung inisiatif Kerajaan Negeri dalam menangani kes kematian kanak-kanak dalam kenderaan dan di rumah pengasuh.

Sementara itu, Anfaal memaklumkan Kerajaan Negeri telah membangunkan Dasar Pembangunan Kanak-Kanak Selangor dan Pelan Tindakan 2022-2025 yang dilancarkan pada Mei tahun lalu sebagai perlindungan dan keselamatan kanak-kanak.

“Dasar ini bermatlamat mewujudkan golongan kanak-kanak yang terpelihara daripada sudut hak, kebajikan, akses kepada sumber dan pembangunan potensi dengan mengambil kira peranan semua pihak berkepentingan.

“Selain itu, sembilan tindakan dirancang antaranya kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan PDRM untuk meningkatkan rondaan di sekitar kawasan taman permainan dan rekreasi bagi memantau kanak-kanak termasuk di tempat yang berisiko,” katanya.

Berkongsi statistik jenayah kanak-kanak di Selangor sepanjang tahun lalu, beliau memaklumkan 190 kes direkodkan membabitkan kesalahan pengabaian diikuti penderaan (156 kes) dan keganasan seksual (146 kes).


Pengarang :