Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor Wan Md Razali Wan Ismail (dua, kiri) menyantuni peniaga selepas melancarkan Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan Tahun Baharu Cina JBPM Selangor di Seksyen 13, Shah Alam pada 3 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Selangor rekod 7,350 kes kebakaran pada 2023, 21 nyawa terkorban

SHAH ALAM, 3 FEB: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor merekodkan 7,350 kebakaran di negeri itu sepanjang 2023 termasuk insiden pesawat terhempas di Elmina dekat sini.

Pengarahnya Wan Md Razali Wan Ismail berkata angka itu merupakan peningkatan berbanding 6,294 kes yang direkodkan pada 2022.

“Insiden melibatkan kehilangan nyawa menunjukkan trend penurunan pada 2019 hingga 2021 iaitu 32 kepada 16 nyawa, bagaimanapun jumlah itu kembali meningkat tahun lepas…21 nyawa,” katanya selepas merasmikan Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Tahun Baharu Cina, di sini hari ini.

Wan Md Razali berkata sepanjang musim perayaan kali ini, pihaknya mengerahkan 1,120 daripada hampir 1,600 anggotanya untuk bertugas sepanjang Tahun Baharu Cina minggu depan.

“Kita tetap memberikan mereka cuti, hanya 30 peratus sahaja dibenarkan dan kita akan pastikan sekurang-kurangnya 470 anggota dan pegawai bertugas setiap hari,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata hampir 50 peratus bangunan yang dikategorikan sebagai bangunan ditetapkan di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) di Selangor tidak mempunyai perakuan bomba (FC).

“Sebenarnya di Selangor kita ada 1,844 bangunan yang dikategorikan sebagai bangunan ditetapkan dalam Akta 341 untuk mendapat FC dan pada 2023, sebanyak 980 sahaja mempunyai perakuan berbanding jumlah yang diwajibkan.

“Dalam tempoh sama, JBPM Selangor menerima 1,239 permohonan, 1,036 sedang dalam pemeriksaan dan 997 pula pengeluaran FC sedang diproses. Perakuan itu akan diberikan apabila memenuhi kehendak kebombaan, kita akan keluarkan FC, itu mandatori,” katanya.

Beliau berkata tahun lalu 99 premis didakwa di mahkamah berikutan tidak mematuhi kehendak kebombaan.

“Banyak kesalahan contohnya menghalang laluan keluar keselamatan, sistem pam tidak berfungsi dengan baik, lampu kecemasan, perubahan dilakukan di premis yang ditetapkan tanpa mendapat kelulusan bomba dan sebagainya,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :