EXCO Pelaburan Ng Sze Han bercakap kepada media ketika sidang media pengumuman perolehan Pameran Udara Selangor (SAS) 2023 di Bilik Gerakan MTES, Shah Alam pada 20 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor rekod pelaburan RM41.5 bilion hingga September 2023

SHAH ALAM, 15 FEB: Selangor merekodkan nilai pelaburan sebanyak RM41.5 bilion membabitkan pelbagai sektor bagi suku ketiga tahun lalu, kata EXCO Pelaburan.

Ng Sze Han berkata nilai pelaburan sehingga September tahun lalu itu disumbang sektor perkhidmatan dengan RM24.6 bilion dan sektor pembuatan sebanyak RM16.9 bilion.

“Sektor perkhidmatan yang paling signifikan tahun lalu adalah industri hartanah dengan RM13.48 bilion, diikuti komunikasi maklumat (RM5.41 bilion) dan utiliti sebanyak RM1.9 bilion.

“Bagi sektor pembuatan pula, penyumbang terbesar adalah industri elektrik dan elektronik dengan RM9.75 bilion, produk fabrikasi keluli (RM2.65 bilion), dan plastik sebanyak RM1.18 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris.

Sze Han optimis Kerajaan Negeri mampu mencapai sasaran nilai pelaburan yang ditetapkan sebanyak RM45 bilion bagi 2023 susulan peningkatan ketara bagi sektor pembuatan.

Menurutnya pelaburan langsung asing (FDI) pada tahun lalu merekodkan RM12.5 bilion manakala pelaburan langsung domestik (DDI) sebanyak RM4.4 bilion.

“Kita ada tiga bulan lagi dan saya yakin kita mampu mencapai sasaran sebanyak RM45 bilion seperti yang ditetapkan sebelum ini berdasarkan momentum yang memberansangkan,” katanya.

Kerajaan Negeri menyasarkan nilai pelaburan berjumlah RM45 bilion pada tahun lalu, membabitkan sektor pembuatan sebanyak RM12 bilion dan sektor perkhidmatan sebanyak RM32 bilion.

Pada 2022, Selangor mencatatkan sejarah apabila sumbangan negeri kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi satu perempat ekonomi negara iaitu pada kadar 25.5 peratus, dengan kenaikan sebanyak 0.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.


Pengarang :