SHAH ALAM, 2 FEB: Tourism Selangor menumpukan segmen pelancongan kesihatan untuk dipromosikan tahun ini bagi menjadikan negeri itu destinasi pilihan utama pengunjung.
Memiliki 20 hospital swasta, jumlah itu menurut Unit Komunikasi Korporatnya terbanyak dalam negara dan diiktiraf Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC).
Jelasnya, anjung utara negeri turut giat dipromosi melalui pelancongan berasaskan komuniti dengan beberapa inisiatif seperti Hos Komuniti Selangor dan segmentasi agropelancongan.
“Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) juga akan diaplikasikan dengan lebih giat bagi merancakkan ekonomi Selangor dan memperkasa komuniti tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Tourism Selangor menambah misi jualan ke luar negara bakal diperluas bagi pasaran tumpuan seperti ITB Berlin dan Pameran Pelancongan Antarabangsa Seoul 2024 di Korea Selatan.
Berdasarkan kejayaan mencatat jumlah pelawat domestik tertinggi pada 2021 dan 2022, agensi itu kekal optimistik dengan pertumbuhan pelancong berterusan bagi tahun seterusnya.
“Kempen “Pusing Selangor Dulu!” yang tertumpu kepada pasaran domestik akan mempamerkan pelbagai tarikan pelancongan melalui jerayawara interaktif di sekolah dan negeri terpilih,” katanya.
Turut ditekankan menurut agensi itu ialah segmentasi pelancongan unik menerusi penganjuran lebih 100 acara di seluruh daerah untuk menerokai kekayaan budaya dan nilai warisan negeri.
Dalam pada itu, Tourism Selangor menjangka Geopark Gombak Hulu Langat menerima pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menjelang 2027.
“Permatang Kuarza Gombak juga dijangka dibuka semula kepada orang ramai akhir 2024,” katanya.
Selangor menyasar kedatangan seramai 5.6 juta pengunjung dari dalam dan luar negara tahun ini melalui pelbagai promosi pelancongan.