Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 27 Februari 2024. Turut berangkat DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sultan mahu pihak berkaitan usaha lebih giat selesai isu sempadan negeri

SHAH ALAM, 27 FEB : Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahirkan penghargaan atas kesungguhan Kerajaan Negeri menyelesaikan isu persempadanan Selangor.

Bertitah pada istiadat pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor hari ini, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mahu pihak berkaitan berusaha lebih giat bagi memuktamadkan perkara itu.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 27 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Beta menzahirkan penghargaan kepada kerajaan beta yang sedang menyelesaikan isu persempadanan Selangor.

“Maka, usaha yang lebih giat perlu dilaksanakan oleh semua pihak berkaitan yang terlibat bagi mengesahkan dan memuktamadkan pula isu persempadanan negeri yang masih perlu diselesaikan,” titah Baginda.

Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa bangga kepada Kerajaan Negeri dalam memuktamadkan persempadanan darat dengan Pahang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Pada 5 Februari lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan isu persempadanan semula Selangor dan Kuala Lumpur dimuktamadkan melalui satu memorandum persefahaman (MoU) tahun depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata MoU berkenaan membabitkan 19 lokasi menumpu kepada penyelesaian aspek pembayaran cukai taksiran dan penyelenggaraan kawasan oleh pihak berkuasa tempatan.


Pengarang :