Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) di Putrajaya pada 15 Februari 2024. Foto Facebook Selangor Royal Office
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANRENCANA

Sultan: Perkasa mahkamah syariah, elak agama jadi bahan politik (TEKS PENUH)

Berikut teks penuh titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sempena mesyuarat MKI ke-71 pada 15 Februari.

PENDAHULUAN

Terlebih dahulu marilah kita bersama-sama melafazkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin dan rahmat-Nya, MKI dapat bersidang buat ke-71.

Beta bersyukur kerana dengan kesepaduan usaha, idea dan buah fikiran semua anggota mesyuarat MKI telah membolehkan banyak keputusan-keputusan penting dibuat demi kepentingan umat Islam di Malaysia.

Sebagai sebuah badan tertinggi dalam penyelarasan hal ehwal slam antara persekutuan dan negeri-negeri, Beta berharap mesyuarat MKI pada hari ini dapat membuat keputusan terhadap beberapa penting dan isu-isu semasa serta meluluskan beberapa program yang boleh memberi manfaat kepada umat Islam di Malaysia.

MENGUKUHKAN PERPADUAN DALAM KALANGAN MASYARAKAT MAJMUK

Penubuhan MKI sejak 56 tahun yang lalu antaranya untuk mengukuhkan kesepakatan antara persekutuan dan negeri-negeri dalam mentadbir hal ehwai Islam. Semenjak Beta dilantik menjadi Pengerusi MKI, Beta selalu memikirkan tentang betapa pentingnya perpaduan dalam kalangan umat Islam. Beta juga menekankan agar umat Islam dapat hidup dalam keadaan aman dan bersatu-padu dengan rakyat yang bukan beragama Islam di Malaysia. Beta meyakini bahawa salah satu sumber kekuatan yang perlu dihayati bersama dalam kalangan masyarakat di negara in ialah amalan hidup muhibah,bersatu-padu, saling hormat-menghormati dan saling membantu antara satu sama lain. la bertepatan dengan ajaran Islam yang amat menekankan aspek keamanan, persefahaman serta rasa cinta dalam kalangan masyarakat bagi membentuk sebuah kehidupan yang aman, harmoni dan sejahtera.

Beta menyeru umat Islam di negara ini agar terus memperkukuhkan komitmen terhadap perpaduan dan ukhuwah yang selama ini menjadi teras kepada kemajuan negara. Sesungguhnya akar persaudaraan yang kukuh dalam kalangan masyarakat Islam mampu menjana kejayaan dan kecemerlangan kepada kemakmuran serta kedaulatan negara keseluruhannya.

Berdasarkan hasrat itulah, perselisihan dan pertikaian yang muncul dalam kalangan masyarakat berkaitan apa-apa isu sekalipun, perlu diurus dengan penuh tertib, ketinggian hikmah serta bersikap adil kepada semua pihak. Beta bersyukur, polemik isu penggunaan kalimah Allah telah pun dapat diredakan apabila MKI dengan perkenan Majlis Raja-Raja telah memutuskan suatu ketetapan dan keputusan dasar berkaitan perkara ini.

Beta berharap, tindakan perundangan berkait dengan isu kalimah Allah dapat disempurnakan oleh kementerian dan agensi yang berkaitan melalui keputusan dasar yang dimuktamadkan pada peringkat MKI dan Majlis Raja-Raja.

PENGGUBALAN UNDANG-UNDANG JENAYAH SYARIAH KESALAHAN

Sebagaimana kita sedia maklum, pada 9 Februari 2024, Mahkamah Persekutuan melalui keputusan majoriti 8-1 telah mengisytiharkan bahawa 16 kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Syariah Jenayah (1) 2019, Kelantan adalah batal dan tidak sah atas alasan, Badan Perundangan Negeri Kelantan telah membuat undang- undang berkenaan hal perkara yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya dan intipati seksyen-seksyen tersebut adalah berkenaan perkara di bawah Senarai Persekutuan, yang mana pada dasarnya hanya Parlimen mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Mahkamah Persekutuan di dalam membuat keputusan telah memutuskan bahawa prinsip undang-undang yang diguna pakai dalam mentafsirkan isu yang berbangkit ini adalah jelas dan mantap. Di dalam menentukan sama ada sesuatu undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau Badan Perundangan Negeri itu sah atau tidak dan termasuk dalam batasan kuasa perundangan masing- masing, ujian yang dipakai adalah dengan melihat kepada “pith and substance” atau dengan kata lain “intipati” peruntukan-peruntukan yang menjadi persoalan. Jika dari segi intipatinya, peruntukan-peruntukan yang dibuat oleh Badan Perundangan adalah yang termasuk di dalam Senarai Persekutuan, maka Badan Perundangan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang tersebut. Ini dapat dilihat kepada Butiran 1 Senarai Il (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Badan Perundangan Negeri diberi kuasa untuk membuat undang- undang bagi pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan yang mana kuasa menggubalnya adalah Parlimen.

Pelbagai pihak terutama ahli-ahli politik, pengamal undang-undang, para akademik dan rakyat biasa membuat pelbagai ulasan dan tafsiran terhadap keputusan kes tersebut. Terdapat ulasan yang memberi penjelasan sebenar tentang kesan kepada keputusan kes tersebut. Namun demikian, terdapat juga ulasan berdasarkan kepada polemik kepentingan pihak-pihak tertentu sehingga menimbulkan pelbagai kekeliruan kepada umat Islam di negara ini. Malah, ada yang menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut sebagai detik “Black Friday” kepada undang-undang jenayah syariah Islam di negara ini. Beta tidak berhasrat untuk turut sama terlibat dalam polemik tersebut.

Pada hemat Beta, semua pihak harus menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara perlu sentiasa didukungi oleh rakyat Malaysia. Di dalam menangani isu yang berbangkit ini apa yang lebih penting ialah usaha kita dalam mencari jalan untuk mengatasi segala permasalahan yang timbul dengan mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Usaha-usaha ini termasuklah mengkaji sekiranya ada keperluan untuk mencadangkan pindaan kepada peruntukan tertentu Perlembagaan Persekutuan dan/atau undang-undang Persekutuan yang berkaitan, bagi memastikan kuasa Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah termaktub secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang kekaburan “ambiguity”.

Beta telah disembah maklum bahawa Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam yang ditubuhkan atas titah Beta semasa mesyuarat MKI ke-70 pada 28 Ogos 2023 sedang meneliti persoalan berbangkit ini. Beta juga disembah maklum bahawa terdapat empat isu utama yang dikenal pasti oleh jawatankuasa khas untuk diteliti iaitu:

a) mengenal pasti isu-isu yang berkaitan dengan kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana diperuntukkan di bawah Butiran 1 Senarai I, Senarai Negeri kepada Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan;

b) melaksanakan kaiian terhadap isu-isu yang berkaitan dengan kompetensi termasuklah analisis terhadap peruntukan undang-undang yang sedia ada secara menyeluruh, mengkaji keputusan-keputusan mahkamah tertinggi serta membincangkan isu-isu tersebut secara terperinci;

c) mencadangkan dan membuat pengesyoran tentang kaedah penyelarasan yang terbaik dan harmoni terhadap isu kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam serta bidang kuasa Mahkamah Syariah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan; dan

d) mengkaji kaedah memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah

Jawatankuasa Khas ini diberi tempoh setahun dari tarikh ia ditubuhkan untuk memberikan sebarang cadangan kepada MKI dan seterusnya diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk diperhalusi dan diperkenankan. Beta menyeru dan menggesa semua pihak, termasuk pakar-pakar perundangan agar membantu Jawatankuasa Khas ini dengan memberikan cadangan-cadangan yang berilmiah, bernas serta praktikal bagi memudahkan Jawatankuasa Khas ini melaksanakan tugas mereka. Beta faham adalah menjadi satu amanah berat yang perlu dipikul oleh Jawatankuasa Khas ini. Namun Beta percaya dengan pengalaman dan kelayakan yang ada pada ahli-ahli Jawatankuasa ini serta dengan izin Allah Subhanahu Wata’ala satu penyelesaian dapat dicapai bagi manfaat semua pihak terutama umat Islam di negara ini. Sementara itu, Beta menyeru kepada semua pihak terutama umat Islam agar bertenang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan sementara menantikan cadangan dari Jawatankuasa Khas berkenaan.

Di samping itu, salah satu agenda pemerkasaan perundangan dan institusi kehakiman syariah adalah menerusi peningkatan profesionalisme modal insan yang berilmu, berdaya saing dan berintegriti demi mencapai pembangunan modal insan yang holistik. Beta difahamkan bagi mencapai hasrat ini, Akademi Kehakiman Syariah Malaysia (AKSM) telah ditubuhkan. Beta dimaklumkan bahawa hasrat pewujudan AKSM ini dimulakan sejak dua dekad lalu ketika Mesyuarat Ketua-Ketua Hakim Syarie ke-19 pada 2001. Kemudiannya, hasrat tersebut diluluskan menerusi mesyuarat MKI ke-48 dan Majlis Raja-Raja yang masing-masing bersidang pada 2009.

Pewujudan AKSM akan diteruskan berdasarkan dua opsyen baharu iaitu dengan pengemukaan permohonan pembinaan AKSM menerusi Rolling Plan 5 (RP5 Tahun 2025, Rancangan Malaysia Ke-12) dan pengoperasiannya menerusi Inisiatif Belanjawan 2024 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober 2023 yang lalu. AKSM secara interim akan diwujudkan terlebih dahulu dengan menggunakan suntikan Inisiatif Belanjawan 2024 tersebut.

INTERVENSI PENDIDIKAN ISLAM

Salah satu bidang tumpuan MKI sejak awal penubuhannya ialah pendidikan Islam. Pada suatu masa dulu, telah mula tercetus kecenderungan dan trend dalam kalangan masyarakat Islam di Asia Tenggara untuk menghantar anak muda meneruskan pelajaran di pusat pengajian Islam dan juga tahfiz di luar negara sedangkan di rantau ini, Malaysia mempunyai reputasi baik dari aspek perkembangan ilmu Islam. Berdasarkan keadaan tersebut, tercetuslah idea menubuhkan suatu badan yang berusaha menyelaras dan meninggikan sistem pelajaran dan pendidikan Islam khususnya bagi institusi pendidikan yang bukan terletak di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Badan itu yang dulunya dikenali sebagai Lembaga dan Penasihat Penyelarasan Pelajaran Pendidikan Agama Islam (LEPAI) diperkasakan selaras dengan penstrukturan baharu MKI dengan nama Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan.

Sehingga kini, antara isu yang mencabar dalam bidang pendidikan Islam ialah penyelarasan kurikulum sekolah agama rakyat, kelayakan tenaga pengajar, isu kemudahan prasarana di sekolah-sekolah persendirian dan sistem pengajian tahfiz dan pondok. la juga termasuk peluang anak-anak yang mengikuti pengajian di institusi pendidikan Islam swasta untuk melanjutkan pengajian serta kebolehpasaran mereka dalam bidang pekerjaan. Bertitik tolak dari perkara tersebut, banyak hasil yang telah dicapai dalam bidang pendidikan Islam antaranya ialah pembentukan Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) dan Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT).

Pada ketika ini, KBT diiktiraf sebagai kurikulum arus perdana di peringkat sekolah-sekolah menengah di bawah KPM. Usaha terus dilakukan secara berterusan untuk memberi nilai tambah dalam pendidikan Islam apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membangunkan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) dan Pelan Tindakan DPT. Melalui Pelan Tindakan DPTN ini, Model Intervensi Tahfiz bagi pelajar tahfiz swasta mengikuti kelas arus perdana serta mendaftar sebagai calon sekolah bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjaya direalisasikan. Beta dimaklumkan terdapat empat model pendidikan tahfiz Malaysia iaitu model tahfiz sains, model tahfiz turath, model tahfiz TVET dan model intervensi tahfiz. Beta berharap pihak berkuasa agama di negeri-negeri boleh memilih model pendidikan tahfiz yang telah disediakan dengan mengambil kira peluang melanjutkan pelajaran di masa hadapan serta menawarkan bidang kerjaya yang diminati oleh generasi anak muda pada masa ini. Di samping itu, Beta mengharapkan penekanan diberikan kepada mata pelajaran bahasa Arab dalam empat model tahfiz ini agar pelajar-pelajar tahfiz yang dilahirkan nanti bukan hanya fasih menghafal Quran malah mereka juga berkemahiran memberikan tafsiran yang tepat kepada ayat-ayat suci al-Quran.

PEMERKASAAN SOSIOEKONOMI UMMAH

MKI sejak penubuhannya pada 1968 berjaya memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu yang melonjakkan pembangunan ekonomi negara terutama berkait dengan sosioekonomi ummah. Penubuhan Bank Islam, pengunaan label “halal”, pewujudan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan pengurusan Baitulmal yang teratur antara contoh pembaharuan yang dibawa oleh MKI dan kesemua inisiatif tersebut berteraskan prinsip maqasid syariah.

Kejayaan pelbagai inisiatif sosioekonomi ummah yang dimulakan oleh MKI ini membuktikan pendekatan yang lebih syumul atau menyeluruh kepada pembangunan ekonomi negara dapat memberi manfaat kepada umat Islam secara keseluruhannya.

Melihat kepada situasi semasa, ibadah zakat dan wakaf merupakan instrumen yang dapat mengurangkan jurang ekonomi yang ketara dan secara langsung membantu umat Islam di Malaysia. Beta dimaklumkan bahawa jumlah kutipan zakat seluruh Malaysia pada 2022 adalah RM4.27 billion manakala jumlah kutipan wakaf tunai hanya RM106 juta sahaja. Perbezaan besar antara jumlah kutipan zakat dan kutipan melalui ibadah wakaf ini mewajarkan satu pendekatan baharu diambil bagi meningkatkan kutipan wakaf tunai demi manfaat umat Islam di negara ini.

PEMERKASAAN PENGURUSAN WAKAF DI MALAYSIA

Penubuhan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haj (JAWHAR) pada 2004 dan Yayasan Wagaf Malaysia (YWM) pada 2008 telah merancakkan lagi pelaksanaan aktiviti pembangunan tanah-tanah wakaf dan pembiayaan wakaf ekonomi-sosial di negara ini.

Kerjasama dan kolaborasi strategik kedua-dua agensi persekutuan ini dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) telah mewujudkan 18 projek pembangunan tanah-tanah wakaf di seluruh negara sejak tempoh Rancangan Malaysia Ke-9 dan usaha ini masih diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12. Sejumlah RM315 juta telahpun dibelanjakan untuk pembangunan kesemua projek wakaf ini yang meliputi skop wakaf kebajikan, ekonomi, pendidikan, perumahan dan kesihatan.

Selain itu, inisiatif kutipan wakaf tunai yang lebih terselaras melalui pendigitalan yang sistematik di bawah agensi-agensi agama Islam peringkat persekutuan dan negeri turut memberi impak positif kepada penyediaan dana aktiviti wakaf di Malaysia.

Di samping itu, aspek penyelarasan perundangan dan tadbir urus wakaf turut diperkemaskan. Antara usaha yang terlibat adalah menerusi penerbitan buku panduan atau manual pengurusan wakaf di bawah JAWHAR yang dilihat banyak membantu MAIN dalam menambah baik pengurusan wakaf. Dalam pada itu, sehingga kini sebanyak sembilan menguatkuasakan enakmen termasuk kaedah dan ordinan berkaitan wakaf. Perkembangan positif ini dapat meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap sistem tadbir urus wakaf di Malaysia.

USAHA-USAHA MENGENAL PASTI BENTUK WAQAF BAHARU UNTUK KEMAJUAN UMAT ISLAM

Pembangunan wakaf tidak terhad kepada aspek keagamaan dan kebajikan sahaja. Malah, inisiatif wakaf mempunyai ruang inovasi untuk meneroka pembangunan sosioekonomi yang lain seperti keusahawanan, perkhidmatan, alam sekitar dan perumahan. Beta yakin dan percaya bahawa kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri sentiasa mengambil usaha untuk meneroka bentuk-bentuk wakaf baharu. Oleh itu, kajian hukum bagi menyesuaikan keperluan semasa dengan kehendak syariah perlu diharmonikan.

Dalam usaha memperkasakan wakaf di Malaysia, pengurusan dan pembangunan wakaf perlu diperkemas agar instrumen wakaf mampu berperanan sebagai sebahagian daripada sektor ketiga ekonomi negara.

Bagi tujuan di atas, Kerajaan Persekutuan melalui JAWHAR dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) sedang memuktamadkan Pelan Induk Wakaf Nasional (PIWN) 2025-2030 yang akan dijadikan panduan dalam pelaksanaan gerak kerja pembangunan wakaf di seluruh negara. Sokongan dan kerjasama setiap pihak, terutama MAIN sebagai pemegang amanah tunggal diperlukan bagi menjayakan usaha pembangunan wakaf di seluruh Malaysia.

Ahli-ahli mesyuarat sekalian, mesyuarat pada pagi ini merupakan mesyuarat kali terakhir yang dipengerusikan oleh Beta. Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-258 telah berkenan memilih Beta sebagai Pengerusi MKI untuk tempoh dua tahun yang berakhir pada 9 Mac 2024. Beta bersyukur kerana sepanjang tempoh Beta menerajui MKI, Beta telah berusaha sedaya-upaya Beta untuk melaksanakan apa yang terbaik untuk umat Islam di negara ini. Beta menekankan tentang perlunya kecekapan dan kebijaksanaan pengurusan institusi tadbir urus agama Islam di negara ini dipertingkatkan dan ditambah baik. Beta juga selalu mengingatkan umat Islam agar sentiasa mengelakkan perbalahan, persengketaan, fitnah-memfitnah sesama sendiri hingga membawa kepada perpecahan yang merugikan kepada umat Islam. Kerajaan dan institusi-institusi agama hendaklah sentiasa peka dan mengambil perhatian berat terhadap ancaman yang boleh menggugat kesucian agama Islam sehingga mendatangkan musibah kepada umat Islam keseluruhannya.

Di kesempatan ini, Beta ingin menasihatkan umat Islam di negara ini terutama kepada para alim ulamak dan para ilmuan Islam agar sentiasa memelihara adab di dalam mencetuskan sesuatu pandangan bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan dalam kalangan umat Islam. Kita tidak perlu berbalah secara terbuka di dalam perkara-perkara yang boleh kita selesaikan dengan cara bermesyuwarah dan secara tertutup. Kita perlu meraikan perbezaan pendapat dan menyelesaikan perbezaan berhemah pandangan tersebut secara ilmiah, serta melalui saluran yang betul. Rakyat terutama umat Islam sentiasa melihat dan memandang tinggi kepada para ilmuan islam dan para alim ulama dan sentiasa mengharapkan sesuatu ketetapan berkaitan sesuatu hukum itu dapat disepakati oleh semua. Oleh itu, adalah menjadi harapan Beta agar saranan dan nasihat Beta ini dijadikan panduan ke arah perpaduan dan kesejahteraan umat Islam di negara ini.

Seperkara lagi yang Beta ingin nasihatkan adalah berkaitan dengan penggunaan agama demi kepentingan politik kepartian. Umat Islam sedia maklum bahawa isu-isu agama sering dipolitikkan sejak beberapa dekad lalu, malah semakin serius sejak kebelakangan ini.

Akibatnya berlaku permusuhan, salah faham serta kekeliruan di kalangan umat islam. Cukup-cukuplah kita bersengketa atas sebab agama. Telah tiba masanya umat Islam semua bersatu demi kekuatan umat Islam. Apabila umat Islam kuat dan bersatu-padu, masyarakat bukan agama Islam akan menghormati umat Islam. Di samping itu pentadbiran agama Islam di negara ini perlulah bebas dari pengaruh politik kepartian dan amalan mempolitikkan setiap urusan agama. Teguran Beta ini tidak dimaksudkan kepada mana-mana pihak malah Beta mengingatkan kepada semua ahli-ahli politik agar jangan mengambil kesempatan untuk mempolitikkan setiap isu yang melibatkan agama Islam sehingga ia menjadi modal kepada persengketaan politik yang tiada berkesudahan. Isu agama adalah sesuatu yang boleh menjadi sensitif kepada umat Islam, oleh itu elakkanlah dari tuduh-menuduh antara satu sama lain atas isu agama yang pada asasnya boleh kita selesaikan secara bersama.

Sebagai mengakhiri ucapan Beta, Beta merujuk kepada Peraturan 2(1) Peraturan-Peraturan MKI 2022 yang menetapkan pengerusi MKI hendaklah dipilih dari kalangan Raja Pemerintah oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan hendaklah memegang jawatan selama tempoh dua tahun dan boleh diperbaharui. Namun demikian, Beta tidak berhasrat tempoh Beta menjadi Pengerusi MKI diperbaharui. Terpulanglah kepada Majlis Raja-Raja untuk memilih seorang Pengerusi baharu daripada kalangan Raja Pemerintah agar kesinambungan fungsi dan aspirasi MKI terus dapat dilaksanakan dengan lebih baik di bawah kepimpinan Pengerusi baharu.

Beta juga berharap amalan melantik menteri agama dari kalangan bukan ahli politik yang dilaksanakan sekarang ini dapat diteruskan demi memastikan isu-isu berkaitan hal ehwal agama Islam tidak dijadikan sebagai bahan politik dan tumpuan sepenuhnya dapat diberikan oleh menteri agama di dalam menyelesaikan pelbagai isu yang melibatkan umat Islam. Beta menyarankan juga kelayakan akademik berasaskan ijazah pendidikan Islam perlu dijadikan sebagai kriteria utama di dalam melantik seorang menteri agama.

HARAPAN/PENUTUP

Sepanjang Beta menerajui MKI, Beta telah mendapat sokongan penuh dan penglibatan aktif semua negeri-negeri melalui wakil-wakil yang dilantik dan semua ahli Jawatankuasa serta agensi-agensi pentadbiran hal ehwal Islam. Hal ini memberi semangat luar biasa untuk Beta melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan sepanjang tempoh dua tahun ini. Oleh itu, Beta menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas komitmen semua ahli mesyuarat, serta wakil-wakil dari semua negeri. Tidak lupa juga, Beta mengucapkan terima kasih kepada Jakim selaku Sekretariat MKI yang telah melaksanakan tugasnya dengan begitu efektif sehingga membolehkan semua mesyuarat MKI dilaksanakan dengan sempurna. Walaupun pada masa hadapan, Beta tidak lagi mempengerusikan MKI, namun Beta akan tetap memainkan peranan Beta sebagai Anggota Majlis Raja-Raja dengan menyumbangkan buah fikiran Beta ke arah memperkasakan peranan MKI. Semangat Beta tetap membara bersama MKI dan segala pengalaman yang Beta perolehi akan tersemat kukuh dalam sanubari Beta dan ia memberikan suatu pengalaman yang amat berharga di samping kenangan manis untuk dikenang selama-lamanya.

Beta berdoa semoga MKI terus berada di persada tertinggi dalam pengurusan hal ehwal Islam sejajar dengan hasrat Mailis Raia-Raja ketika menubuhkannya.

“PERTAHAN DAN SETIA KEPADA AGAMA ISLAMI “BERKHIDMAT KEPADA RAKYAT DAN NEGARA”


Pengarang :