SHAH ALAM, 27 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan mencemar duli ke Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj disambut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Speaker DNS Lau Weng San.
Turut mengiringi Baginda DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Istiadat pembukaan dimulakan dengan nyanyian lagu Negeri Selangor sejurus keberangkatan tiba Sultan Selangor sebelum Baginda berkenan memeriksa kawalan Kehormatan Utara Tentera Laut Diraja Malaysia.
Persidangan DNS ke-15 yang dijadual berlangsung 10 hari hingga 11 Mac boleh diikuti secara langsung menerusi SelangorTV dan Facebook Media Selangor.
Laporan setiap hari ucapan dan perbahasan wakil rakyat juga boleh diikuti melalui portal selangorkini.my
Laporan berita boleh dibaca melalui akhbar dan portal Selangorkini. Ia juga bakal dimuatkan dalam tiga edisi lain termasuk Mandarin, Tamil dan Inggeris.