Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melantik dan mengurnia watikah kepada 31 anggota institusi Islam negeri bagi sesi 2024-2026 di Istana Kayangan pada 23 Februari 2024. Foto Norrasyidah Arshad/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan Selangor berkenan lantik 31 anggota institusi Islam

SHAH ALAM, 23 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melantik dan mengurnia watikah kepada 31 anggota berkait institusi Islam negeri bagi sesi 2024-2026.

Daripada jumlah itu, empat dilantik anggota Majlis Agama Islam Selangor (Mais) iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Setia Haris Kasim, Datin Paduka Norazlina Zakari, Prof Madya Dr Khadijah Mohd Khambali@Hambali serta Prof Madya Dato’ Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.

Pelantikan berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan anggota Mais bagi sesi tersebut adalah 22 orang dan diketuai Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Sultan Sharafuddin turut berkenan melantik Mufti Selangor Prof Madya Dato’ Setia Dr Anhar Opir serta timbalannya Prof Madya Dato’ Dr Miszairi Sitiris sebagai anggota jawatan kuasa fatwa negeri bersama 12 individu lain.

Dalam istiadat berkenaan Baginda turut menyerah watikah pelantikan kepada 11 ahli lembaga pemegang amanah Lembaga Zakat Selangor dan memilih Tan Sri Syed Anwar Jamalullail sebagai pengerusi manakala timbalan ialah Tan Sri Amrin Buang.

Baginda turut melantik Dato’ Mohd Shukor Shabudin sebagai anggota panel tetap hakim Mahkamah Rayuan Syariah dan Mohd Zakian Dio sebagai hakim Mahkamah Tinggi Syariah negeri.

Istiadat berlangsung di Istana Kayangan, di sini turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah.


Pengarang :