Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan bertitah sempena Istiadat Pengisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 5 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan Selangor sempurnakan pengisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang

KLANG, 5 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyempurnakan istiadat pengisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) pagi ini.

Baginda berkenan melafazkan pengisytiharan dan mengumumkan pelantikan Datin Paduka Noraini Roslan sebagai datuk bandar pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, berkuat kuasa 23 November tahun lalu.

“Beta dengan ini mengisytiharkan dan menetapkan bahawa Majlis Perbandaran Klang bermula pada 23 November 2023, akan menjadi Bandar Raya Diraja buat selama-lamanya dan hendaklah disebut sebagai Majlis Bandaraya Diraja Klang,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut berkenan mengalungkan Noraini kalung rasmi dan mengurniakan watikah pengisytiharan MBDK sambil disaksikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Turut dihadiri barisan kepimpinan Kerajaan Negeri, majlis berlangsung di Hotel Wydham, di sini bermula dengan perarakan masuk Noraini sebelum Amirudin menyampaikan sembah ucapan.

Pada Julai tahun lalu, kerajaan persekutuan mengumumkan Majlis Perbandaran Klang dinaik taraf kepada bandar raya, sekali gus menjadi PBT ke-20 memperoleh status berkenaan.

Berikutan itu, kerajaan persekutuan dan Kerajaan Negeri menyalur peruntukan RM34.6 juta untuk menambah baik kemudahan awam di Klang antaranya pasar, tandas awam dan laluan pejalan kaki.

 


Pengarang :