Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan bertitah sempena Majlis Perisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 5 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan titah rakyat eratkan perpaduan, elak sentuh sensitiviti agama, kaum

KLANG, 5 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah agar perpaduan yang terjalin antara penduduk berbilang kaum di Klang terus dipererat.

Baginda turut bertitah semua kaum saling menghormati antara satu sama lain dan tidak membesarkan perkara yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum hingga menggugat keharmonian.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan bertitah sempena Istiadat Pengisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 5 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Gunakan aplikasi teknologi moden yang ada untuk membantu mengeratkan lagi perpaduan masyarakat dan bukannya menyebarkan fitnah serta kebencian yang boleh menyebabkan perpecahan masyarakat,” titah Baginda.

Sultan Sharafuddin juga berharap agar warga Klang berbangga dengan status baharu bandar Diraja dan sentiasa bekerjasama menjaga kebersihan khususnya sekitar pesisir Sungai Klang.

“Perlu menjaga harta benda awam dan mengikut peraturan ditetapkan bagi menjaga status bandar raya Diraja selaras dengan slogan ‘Klang Sihat dan Sejahtera’.

“Penguatkuasa Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) perlu tegas dan melaksanakan tugas dengan berdisiplin dan berhemah,” titah baginda.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melawat pameran selepas pengisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 5 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, Baginda Tuanku berkenan menyempurnakan istiadat pengisytiharan MBDK yang berlangsung di Hotel Wyndham, dekat sini.

Pada Julai tahun lalu, kerajaan persekutuan mengumumkan Majlis Perbandaran Klang dinaik taraf kepada bandar raya, sekali gus menjadi pihak berkuasa tempatan ke-20 memperoleh status berkenaan.

Berikutan itu, kerajaan persekutuan dan Kerajaan Negeri menyalur peruntukan RM34.6 juta untuk menambah baik kemudahan awam di Klang antaranya pasar, tandas awam dan laluan pejalan kaki.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengalungkan kalungan rasmi Datuk Bandar kepada Datin Paduka Noraini Roslan sempena Majlis Perisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 5 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :