Pegawai Imigresen memeriksa kawasan hutan di sekitar Depot Tahanan Imigresen Sementara Bidor pada 2 Februari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tahanan lolos mula keluar cari makanan, 10 ditahan takat pagi ini

 

TAPAH, 3 FEB: Jabatan Imigresen mengesahkan 10 pendatang tanpa izin di Depot Tahanan Sementara Imigresen Bidor di sini yang melarikan diri Khamis lalu berjaya ditahan setakat pagi ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata pihaknya kini sedang mengesan baki 120 pendatang tanpa izin dengan operasi pencarian diteruskan sehingga semuanya diberkas.

“Kira-kira 7 pagi tadi, dua orang ditahan di Masjid Batu Melintang apabila mereka datang ke masjid untuk meminta air daripada kariah masjid. Penduduk memaklumkan kepada polis dan ditahan.

“Sebentar tadi kita dapat satu maklumat lagi, satu tangkapan dibuat di Kampung Orang Asli Sementa. Semua dalam radius 12 kilometer, mereka sudah mula keluar disebabkan ada keperluan untuk mendapatkan bekalan makanan dan minuman,” katanya pada sidang media di Depot Tahanan Sementara Imigresen Bidor di sini hari ini.

Beliau berkata perkara itu menunjukkan perkembangan baik dengan kerjasama daripada pihak polis melibatkan Pasukan Gerakan Am, Pasukan Gerakan Udara, Jabatan Siasatan Jenayah, Unit Anjing, Jabatan Sukarelawan (RELA) bagi membantu mengesan serta menangkap tahanan berkenaan.

Sementara itu, Ruslin berkata fokus pencarian tahanan lolos kini difokuskan di penempatan warga asing, masjid, rumah kosong, surau dan perkampungan Orang Asli di sekitar Tapah.

“Mereka ini (tahanan lolos) berkemungkinan meminta bantuan rakan-rakan yang pernah kenal dan keturunan mereka untuk menyembunyikan diri di penempatan haram sekitar Tapah.

“Oleh yang demikian, orang awam diminta menyalurkan maklumat sekiranya ada individu mencurigakan meminta bekalan makanan dan minuman,” katanya.

Ruslin berkata tahanan yang lolos kini telah berpecah dan tidak bergerak dalam kumpulan besar.

Beliau telah mengarahkan imigresen di seluruh negara untuk membuat operasi secara besar-besaran kerana sasaran dan radius pencarian tahanan lolos kini diperluaskan.

“Esok 100 anggota akan melapor diri di Depot Tahanan Sementara Imigresen Bidor bagi membantu pengoperasian,” katanya.

Mengulas mengenai pengoperasian depot itu, Ruslin berkata depot berkenaan kini dikosongkan sepenuhnya dan tiada lagi tahanan ditempatkan di depot terbabit.

“Sekitar 11 malam tadi, 100 tahanan wanita telah dipindahkan dan mereka selamat tiba di Depot Bukit Jalil serta beberapa depot negeri lain seperti Lenggeng di Negeri Sembilan dan Kemayan di Johor,” katanya.

Dalam kejadian Khamis malam, 131 pendatang tanpa izin telah melarikan diri dari blok lelaki depot tahanan itu dan seorang daripada mereka meninggal dunia apabila terlibat dalam nahas jalan raya.

Daripada sejumlah 131 pendatang tanpa izin yang telah melarikan diri dari blok lelaki depot tahanan itu 115 ialah etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.

– BERNAMA


Pengarang :