Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menunjukkan prestasi dan hasil ekonomi negeri ketika Jelajah Selangor Penyayang daerah Sepang di Kota Warisan, Sepang pada 30 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tekad jadikan Selangor destinasi pelaburan utama, kukuh program kebajikan rakyat

SHAH ALAM, 9 FEB: Kerajaan Negeri tekad mengangkat potensi ekonomi sekali gus menjadikan Selangor sebagai destinasi pelaburan utama di Malaysia dan Asia Tenggara.

Dato’ Menteri Besar berkata tumpuan penggal ini turut diberikan kepada industri baharu seperti kecerdasan buatan (AI) bagi mengoptimumkan industri pembuatan dan berteknologi tinggi.

“Tahun ini saya akan membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama merangkumi usaha-usaha ini selain menekankan kepentingan kualiti perkhidmatan pihak berkuasa tempatan terus diperbaiki demi keselesaan rakyat.

“Selangor akan memberikan penekanan bukan sahaja kepada pembangunan infrastruktur baharu tetapi meningkatkan kualiti penyelenggaraan infrastruktur yang telahpun dibina,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam perutusan Tahun Baru Cina hari ini.

Menurutnya, pengukuhan program kebajikan rakyat juga terus menjadi agenda utama antaranya termasuklah meningkatkan jumlah pelajar program tuisyen rakyat percuma kepada lebih 100,000 pelajar.

Katanya, nilai baucar Jom Shopping Perayaan turut ditingkatkan daripada RM100 kepada RM200 yang memanfaatkan 82,400 penerima ketika sambutan Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali.

Beliau turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Tiong Hua dan mendoakan mereka dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan.

Katanya, Naga Kayu yang menjadi tanda zodiak Cina tahun ini merupakan kombinasi keutuhan kayu yang menggambarkan kestabilan, kesetiaan dan kejujuran.

“Naga itu sendiri mempunyai kedudukan khas dalam fahaman Cina yang membawa maksud kekuatan, kebijaksanaan, dan kemakmuran.

“Pemaknaan simbol ini hadir tepat pada waktunya, apabila negara kita bertambah kukuh dan stabil yang merupakan asas kemakmuran rakyat dan negara dapat dicapai.

“Kerjasama perpaduan yang ikhlas dan bukan sekadar kata-kata seperti kelompok lain terbukti sudah mula mengangkat potensi ekonomi negeri dan negara ke arah meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.


Pengarang :