Petugas menyediakan barangan asas yang dibeli ketika Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Pekarangan Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Desa Coalfield, Kuala Selangor pada 19 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Telur, beras antara paling laris dalam jualan murah DUN Jeram

KUALA SELANGOR, 19 FEB: Kira-kira 300 penduduk tidak melepaskan peluang membeli barangan asas pada harga murah dalam program Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang dianjur di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram hari ini.

Pegawai khas ahli parlimen Kuala Selangor berkata penduduk mula membanjiri Dewan MPKS Desa Coalfield, dekat sini seawal 8 pagi meskipun kaunter jualan dibuka dua jam selepas itu.

Jelas Mohd Maskor Tumiran, hampir semua penduduk mendapatkan beras dan telur memandangkan produk berkenaan sukar didapati selain harga ditawarkan lebih murah berbanding pasaran.

“Setakat tahun ini, jualan sudah berlangsung tiga kali. Kita usaha untuk anjurkan lebih kerap supaya dapat bantu penduduk berbelanja dan meringankan beban kos sara hidup,” katanya ditemui di program berkenaan.

Mohd Maskon berkata memandangkan JER mendapat perhatian ramai, pihaknya mengambil peluang membuka kaunter pendaftaran beberapa agensi kerajaan antaranya Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dan Skim Air Darul Ehsan (SADE).

“Ada penduduk yang tidak tahu manfaat program-program ini jadi kita terangkan dan bantu daftar kerana ada yang tidak tahu mengenai dunia digitalisasi,” katanya.

JER kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Selain menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh sebagai rakan strategik melaksanakan program JER termasuk penyediaan lokasi jualan dan logistik di 55 premisnya.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Hujung tahun lalu, PKPS turut menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 sempena Persidangan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ekoran kejayaan cemerlang termasuk pengendalian JER.


Pengarang :