DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (tiga dari kanan) bersama EXCO Sukan Najwan Halimi (empat kiri) bergambar bersama empat Ikon Berbasikal Selangor (CSI) pada majlis pelancaran CSI di Hotel Sunway Resort, Bandar Sunway, Petaling Jaya pada 27 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDAEXCOSUKANKINI

Tengku Amir Shah berkenan lancar ikon sukan berbasikal, empat atlet diperkenal

PETALING JAYA, 27 FEB: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan menyempurnakan pelancaran Ikon Berbasikal Selangor (CSI) dalam usaha menyokong pembangunan sukan berbasikal negeri.

Projek inisiatif Selangor Youth Community (SAY) yang dinaung Tengku Amir Shah itu memperkenal empat atlet muda berbasikal tempatan yang berpotensi tinggi digilap sebagai ahli sukan profesional.

Pengurus Projek CSI Amirul Aiman Mohd Noor berkata projek perintis itu diusahakan bagi menyokong pembangunan atlet sukan basikal berbakat besar untuk diketengahkan ke peringkat tinggi.

“Projek ini merupakan kolaborasi bersama Majlis Sukan Negeri (MSN) dan beberapa rakan strategik kami. Sukan basikal sebenarnya berpotensi tinggi kerana kita ada banyak kemudahan bertaraf dunia di sini.

Pengurus Projek CSI Amirul Aiman Mohd Noor pada majlis pelancaran CSI di Hotel Sunway Resort, Bandar Sunway, Petaling Jaya pada 27 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Atlet berbasikal juga amat berdisiplin dan mempunyai daya tahan kuat. Selain itu Raja Muda Selangor juga mahu kami mencari bakat baharu dalam tempoh 10 tahun,” katanya.

Terdahulu Tengku Amir berkenan mendengar penerangan ringkas yang disampaikan Amirul Aiman sekali gus melancar dan memperkenalkan empat atlet CSI di Hotel Sunway Resort di sini, hari ini.

Tengku Amir juga berkenan menyaksikan majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bersama rakan strategik antara SAY, Persatuan Berbasikal Negeri Selangor dan penaja, Innersejuk.

Turut hadir EXCO Belia dan Sukan Najwan Halimi, Pengarah Eksekutif MSN Selangor Mohamad Nizam Marjugi serta Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Datuk Prof Shahrin Sahib.

Empat atlet berbasikal CSI yang dipilih ialah Muhd Fahmi Saharil, 18; Yong Ann Tung, 19; Fatin Nursyakira Mizy, 20, dan atlet termuda Mohammad Darwisy Hakimi Zarin, 17.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (tengah) bersama EXCO Sukan Najwan Halimi (dua dari kanan) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) sempena pelancaran Ikon Berbasikal Selangor (CSI) di Hotel Sunway Resort, Petaling Jaya pada 27 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Pengarang :