Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin (tengah) berkenan menghadiri Majlis Hijab Fashion Award 2024 pada 22 Februari 2024. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tengku Permaisuri Selangor sampaikan anugerah kepada 13 ikonik fesyen hijab

OLEH NAS NORZIELA NASBAH

PETALING JAYA, 22 FEB: Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor berkenan berangkat menghadiri majlis Hijab Fashion Award 2024 di Hotel One World, di sini semalam.

Tengku Permaisuri Hajah Norashikin turut berkenan menyampaikan anugerah kepada 13 individu ikonik yang cemerlang dan berjaya mencetus revolusi dalam bidang fesyen hijab tanah air.

Ketibaan Baginda disambut isteri Dato’ Menteri Besar Datin Seri Masdiana Muhamad dan Editor Pengurusan Majalah Nona, Hijabista dan Mingguan Wanita Kiffy Razak.

Antara penerima anugerah ialah pempengaruh Muabellaz yang memenangi kategori Hijabista Influencer, Hijabista Styling (Didiyana Ehsan), Hijabista Most Glam (Rozita Che Wan), Hijabista Achievement ( Vivy Yusof) dan Hijabista Inspirational (Maryam You Narae).

Jenama Leeyanarahman pula menerima anugerah Hijabista Fashion Brand Award sekali gus mengiktiraf kejayaan usahawan dan pengasasnya, Nur Liyana Abdul Rahman dalam membina empayar fesyen.

Majlis turut diserikan dengan peragaan koleksi fesyen sempena Aidilfitri tahun ini daripada jenama Leeyanarahman dan pereka fesyen Datuk Radzuan Radziwill.


Pengarang :