Kakitangan Media Selangor sedang mengimbas aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) di Hotel Carlton, Shah Alam pada 15 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tiada data bocor, maklumat peribadi pengguna SELangkah selamat

OLEH NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 29 FEB: Maklumat peribadi pengguna yang disimpan dalam pangkalan data aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) tidak terjejas dan kekal selamat.

Menurut syarikat pembangunan aplikasi itu, keselamatan dan privasi pengguna terus diutamakan di sebalik dakwaan berlaku pelanggaran data daripada sumber dalam talian.

“Kami ingin menjelaskan bahawa data yang dipersoal bukan daripada pangkalan data kami. Data peribadi yang disimpan dalam SELangkah tidak terjejas dan kekal terjamin.

“Kami ingin meyakinkan pengguna bahawa kami terus melaksana dan mengekalkan langkah terbaik untuk memastikan keselamatan data mereka,” kata Selangkah Ventures Sdn Bhd.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan The Star pada 26 Februari yang mendakwa berlaku penjualan data membabitkan lebih lima juta pengguna aplikasi itu.

Menurut portal itu, sumber data meliputi 10,027 fail berkaitan suntikan vaksin Covid-19, dengan harga disenaraikan pada AS$1,000 (RM4,761).

Aplikasi yang dibangunkan pada 2021 membantu pengesanan kontak semasa pandemik Covid-19 dan fungsinya kini ditambah untuk mengakses pelbagai inisiatif bawah Kerajaan Selangor.


Pengarang :