AGENDANASIONAL

Tidak sempat bertunang, lelaki lemas ketika main bot kawalan jauh

KUALA NERUS, 6 FEB: Seorang lelaki yang bakal melangsungkan pertunangan Sabtu ini, mati lemas ketika bermain bot kawalan jauh bersama rakannya di sungai di Kampung Bukit Tumbuh di sini malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus Azmi Omar berkata mangsa, Ahmad Yusof Din, 24, ditemukan pasukan penyelamat di air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus pada 12.56 tengah malam.

“Mayat mangsa dijumpai pada kedalaman 12 meter (m), kira-kira 30 m dari lokasi kejadian dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azmi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada kira-kira 10.55 malam, sebelum menggerakkan 16 anggota bomba termasuk PPDA untuk menjalankan kerja mencari dan menyelamat.

Sementara itu, Muhammad Danial Hafriz Abdul Halim, 26, yang turut bermain bot kawalan jauh itu bersama Ahmad Yusof berkata mangsa lemas ketika berenang untuk mengambil bot terbabit yang rosak di tengah sungai berkenaan.

Bagaimanapun, katanya ketika berada di pertengahan sungai, mangsa seperti mengalami kekejangan dan terkapai-kapai meminta pertolongan.

“Saya terjun ke sungai untuk menyelamatkan dia (mangsa) tetapi tak berjaya. Saya sungguh tak sangka dia akan pergi secepat ini,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :