Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan bergambar bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ketika berangkat ke Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 27 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tingkat hasil Kerajaan Negeri, Sultan berkenan kadar bayaran fi pejabat disemak

SHAH ALAM, 27 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan usaha Kerajaan Negeri menyemak semula kadar bayaran fi pejabat.

Titah Sultan Selangor, semakan dilakukan Pejabat Tanah dan Galian serta Pejabat Daerah dan Tanah akan meningkatkan hasil Kerajaan Negeri.

“Semakan ini perlu dilakukan kerana kali terakhir kadar ini disemak dalam Kaedah-kaedah Tanah Selangor (Pindaan) 2007,” titah Baginda sempena istiadat pembukaan Dewan Negeri Selangor ke-15 di Bangunan Annex di sini, hari ini.

Baginda turut mengalu-alukan inisiatif Kerajaan Negeri dalam membangunkan sistem e-Tanah Negeri Selangor yang dilancarkan Oktober tahun lalu.

“Penambahbaikan sistem tadbir urus tanah telus akan memberi impak positif yang signifikan kepada semua pihak berkepentingan yang terlibat.

“Aspek digitalisasi akan membantu dalam proses semakan, perancangan dan juga pemantauan di mana ia boleh dibuat secara lebih pantas, berkala dan teratur,” titah Baginda.

Tahun lalu, Dato’ Menteri Besar dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) memaklumkan hasil negeri dijangka bertambah lebih RM100 juta selepas pentadbiran negeri memperkenal tiga langkah baharu.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, usaha itu meliputi perkongsian dividen anak syarikat dengan anggaran RM40 juta dan semakan fi pejabat bawah pejabat daerah dan tanah berjumlah RM50 juta.


Pengarang :