Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) Dato’ Ibrahim Md Yusof berucap ketika Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Peringkat Negeri Selangor 2024 di Wisma PKPS, Shah Alam pada 7 Februari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Wakaf Selangor sasar kutipan wakaf RM100 juta tahun ini

SHAH ALAM, 7 FEB: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyasar kutipan wakaf berjumlah RM100 juta tahun ini, berbanding RM75.5 juta yang diperoleh pada 2023.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata kutipan wakaf meliputi Wakaf Tunai, Wakaf Khas dan Manfaat Wakaf (Sewaan).

“Kesedaran masyarakat untuk berwakaf semakin meningkat. Jika dahulu, kutipan sedikit tetapi sekarang semakin meningkat, ramai orang sudah ada kesedaran malah kaedah (berwakaf) juga mudah dan boleh dibuat secara dalam talian.

“Berwakaf juga boleh dibuat melalui potongan gaji atau akaun setiap bulan atau setiap hari. Paling penting kita mahu beri kesedaran betapa besar ganjaran diperoleh jika kita berwakaf,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Bulan Wakaf peringkat Selangor di Dewan Orkid Wisma PKPS di sini hari ini.

Menurut Abdul Aziz sebanyak RM2 juta daripada sumbangan wakaf tahun lalu digunakan untuk wakaf fisabilillah kepada institusi keagamaan, pendidikan dan kesihatan yang memerlukan dana baik pulih.

“Insya-Allah, dana wakaf fisabilillah ini akan diperluas dan kita membuka ruang mana-mana institusi yang memerlukan baik pulih hubungi PWS. Semoga amalan ini dapat disalurkan dan dimanfaatkan orang ramai,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang wakaf boleh melaksanakan secara tunai melalui saluran rasmi PWS dengan melayari https://fpx.wakafselangor.gov.my/ewo_login.asp untuk berwakaf tunai atau melalui DuitNow QR.


Pengarang :