AGENDANASIONAL

Warga asing maut digilis kereta api di Pelabuhan Klang

SHAH ALAM, 24 FEB: Seorang lelaki warga asing ditemukan maut dipercayai digilis kereta api di Pelabuhan Utara dekat sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata pihaknya menerima laporan penemuan mayat lelaki tersebut pada pukul 11.35 pagi.

“Kejadian berlaku di tepi landasan berhadapan kilang di Jalan Pelabuhan Utara. Mangsa berusia 19 tahun dan terdapat kecederaan di bawah paras lutut kedua-dua kaki dipercayai digilis kereta api,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :