Anggota bomba memadamkan kereta jenis Proton Saga yang terbakar di Jalan Bidor Lama dekat Tapah pada 8 Februari 2024. Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak
AGENDANASIONAL

Warga emas rentung, tiga individu termasuk kanak-kanak melecur kereta terbakar

IPOH, 8 FEB: Wanita warga emas rentung manakala tiga individu termasuk dua kanak-kanak lelaki melecur dalam kebakaran sebuah kereta di jalan Bidor Lama, dekat Tapah, awal pagi ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 4.49 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah bergegas ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton Saga yang terbakar 98 peratus dan terdapat mangsa yang duduk di bahagian penumpang belakang kereta telah rentung.

“Manakala seorang lagi wanita serta dua kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia lima dan lapan tahun cedera melecur telah dibawa ke Hospital Tapah untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sabarodzi berkata anggota bomba mengaplikasikan konsep RECEO (menyelamat, pendedahan, penyekatan, pemadaman dan pemeriksaan) dan membuat pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula air dari tangki jentera sehingga kebakaran dapat dipadam sepenuhnya.

Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

“Setakat ini kita tidak dapat sahkan pertalian mereka memandangkan dokumen pengenalan hangus dalam kejadian itu,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :