Foto Arkib Selangorkini
AGENDAJENAYAH

Warga emas rugi lebih RM1 juta terperdaya pelaburan mata wang kripto

JOHOR BAHRU, 17 FEB: Warga emas kerugian RM1.28 juta selepas diperdaya pelaburan mata wang kripto tidak wujud yang diiklankan menerusi media sosial.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata lelaki berusia 61 tahun itu yang merupakan peniaga membuat laporan polis, di sini semalam.

Beliau berkata mangsa memaklumkan berhubung dengan seorang individu menerusi aplikasi WhatsApp dan diarahkan memuat turun satu aplikasi bagi memantau pelaburan dibuat.

“Mangsa membuat pembayaran ke beberapa akaun bank yang diarahkan individu itu, berjumlah RM1.28 juta sejak November lalu hingga Januari tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kumar warga emas itu tidak menerima sebarang keuntungan sehingga kini meskipun aplikasi terbabit memaparkan keuntungan lumayan, lalu membuat laporan polis selepas aplikasi itu gagal diakses.

Dalam kes lain, Kumar berkata wanita warga emas kerugian RM390,000 selepas terperdaya dengan pelaburan saham tidak wujud.

Beliau berkata pesara swasta berusia 65 tahun itu turut membuat laporan polis semalam, selepas tidak menerima sebarang keuntungan daripada pelaburan itu.

“Mangsa memaklumkan menerima panggilan daripada seorang individu yang menawarkan pelaburan saham dikenali sebagai ‘Fidelity’ dengan menjanjikan 30 peratus keuntungan daripada jumlah pelaburan.

“Namun, sejak membuat pembayaran dari November lalu hingga Januari tahun ini, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan,” katanya.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

– BERNAMA


Pengarang :