Pemandangan bandar raya Shah Alam (gambar hiasan). Foto Arkib Selangorkini
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Zon ekonomi khas jadikan Lembah Klang Raya antara lima lembah utama Asia

KLANG, 5 FEB: Kerajaan Selangor bercadang memberi status zon ekonomi khas kepada Lembah Klang Raya bagi menyerlahkan lagi potensi empat bandar raya terlibat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata rancangan melibatkan kawasan Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang juga diyakini mampu menjadikan Selangor sebagai negeri terbaik dan terus berdaya maju.

“Saya lihat Lembah Klang Raya mampu menandingi dan menjadi alternatif kepada Kota Singapura atau Greater Seoul dan Greater Tokyo.

“Berikutan kesefahaman dan kerjasama yang terjalin antara negeri dan persekutuan, saya akan berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Lembah Klang Raya diberikan status zon ekonomi khas,” katanya ketika sembah ucapan sempena perisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) hari ini.

Amirudin berkata Lembah Klang Raya berpotensi menjadi gagasan ekonomi utama Asia Tenggara dan mampu tersenarai antara lima lembah utama Asia sekiranya dapat direalisasikan sepenuhnya.

Ia berikutan usaha berterusan dan penjanaan semula kawasan menarik pelaburan terutama industri digital serta teknologi tinggi seperti kecerdasan buatan, penempatan pusat data, serta sistem perkhidmatan kerajaan berteras pengurusan mampan.

“Lembah Klang Raya menghimpunkan 3.4 juta penduduk iaitu hampir 50 peratus daripada keseluruhan penduduk negeri ini dan jumlah itu melebihi 10 peratus daripada jumlah penduduk negara,” katanya.

Menerusi belanjawan tahun ini, Dato’ Menteri Besar memaklumkan Selangor mahu mewujudkan Lembah Klang Raya, penggabungan empat bandar raya menerusi peruntukan RM2 juta.

Jelasnya sistem dibuat selepas melihat bandar raya terbabit memiliki pelbagai industri utama selain berdepan cabaran sama seperti pengangkutan awam, pegangan tanah dan hal kebajikan masyarakat.


Pengarang :