Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab pertanyaan ketika Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Dewan Undangan Negeri, Shah Alam pada 5 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

11 program utama di bawah ISP aktif dilaksana, demi manfaat rakyat

SHAH ALAM, 5 MAC: Sebanyak 11 program Iltizam Pemberdayaan Rakyat Selangor di bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) masih aktif dan kekal dilaksana demi manfaat penduduk negeri ini.

Dato’ Menteri Besar berkata program tersebut meliputi perkhidmatan Bas Smart Selangor dan van mobiliti yang memanfaatkan lebih 7.7 juta rakyat di negeri ini.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, Jualan Ehsan Rakyat (kini dikenali Jualan Ehsan Rahmah) pula berjaya menarik capaian lebih tujuh juta penduduk di Selangor diikuti pengecualian cukai pintu (426,656 orang).

“Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) turut memanfaatkan 27,542 keluarga diikuti Skim Air Darul Ehsan (SADE) (296,000) dan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) (188,077).

“Selain itu, seramai 78,055 keluarga menerima inisiatif Jom Shopping Perayaan; Roda Darul Ehsan (RiDE) (3,000); Dana Bantuan Guaman Selangor (22); dan Pusat Kehidupan Berdikari (ILC) (47).

“Kesemua 11 program ISP masih aktif dan kekal dilaksanakan Kerajaan Negeri untuk memastikan rakyat Selangor dapat manfaat demi kesejahteraan diri dan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Sungai Burong Mohd Zamri Mohd Zainuldin berhubung status program pemberdayaan rakyat Selangor di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Sejak Julai 2022, Kerajaan Negeri menyusun 47 program bawah ISP. Selain untuk semua warga Selangor, ISP menumpukan usaha meringankan beban kumpulan berpendapatan rendah (B40) negeri ini.

Dibahagikan enam sektor, Iltizam Pemberdayaan Rakyat Selangor mempunyai 12 inisiatif, Iltizam Kesihatan Selangor (11 inisiatif), Iltizam Pendidikan Selangor (8 inisiatif), Iltizam Perumahan Selangor (7 inisiatif), Iltizam Keusahawanan Selangor (4 inisiatif) dan Iltizam Mesra Anak Selangor (5 inisiatif).

Maklumat lanjut 47 inisiatif ISP boleh dirujuk dalam Laporan Pencapaian & Prestasi Kerajaan Negeri Selangor 2018-2023 di laman sesawang amirudinshari.com.


Pengarang :