Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim bersama penerima anugerah perkhidmatan cemerlang ketika majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MBSJ 2023 di Hotel Summit USJ, Subang Jaya pada 8 Mac 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

116 kakitangan MBSJ terima anugerah khidmat cemerlang, hargai sumbangan, dedikasi

SUBANG JAYA, 8 MAC: Seramai 116 kakitangan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi 2023 dalam majlis di Summit Hotel di sini, malam ini.

Datuk Bandarnya Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata acara tahunan itu bertujuan mengiktiraf dan menghargai sumbangan serta dedikasi warganya dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai penjawat awam.

“Ini termasuklah dalam pelaksanaan tugas rasmi atau penglibatan aktif dalam kegiatan sukan, inovasi, sosial dan kemasyarakatan berdasarkan prestasi 2023.

“Diharap anugerah ini dijadikan pemangkin untuk terus berjaya dan menyuntik semangat meneruskan khidmat dengan lebih cemerlang, dedikasi dan penuh iltizam,” katanya.

Berucap pada majlis APC MBSJ 2023 beliau berkata pada majlis itu MBSJ turut memberi empat pengiktirafan khas iaitu Anugerah Khas Datuk Bandar, Anugerah Khas Inovasi (AKI), Anugerah Khas Sukan (AKS) dan Anugerah Khas Kebudayaan (AKK).

“Ia bagi menghargai individu dan pasukan yang telah membawa kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Majlis malam ini turut meraikan 16 pesara MBSJ,” katanya.

Setiap penerima APC membawa pulang wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan manakala pesara menerima saguhati bernilai RM1,000 daripada MBSJ dan RM500 daripada Kelab Sukan dan Kebajikan MBSJ.


Pengarang :