Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunaraj bersama penerima sumbangan Jom Beli kelengkapan sekolah membabitkan 100 murid di DUN itu pada 21 Mac 2024. Foto Facebook Dr G Gunaraj
ADNSELANGOR

200 murid DUN Sentosa terima bantuan pakaian sukan, kelengkapan sekolah

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 22 MAC: Seramai 100 murid dari tujuh sekolah rendah sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa menerima sumbangan pakaian sukan dan badan beruniform.

Wakil rakyatnya berharap sumbangan itu meringankan beban kewangan keluarga sekali gus memastikan setiap murid dapat menyertai kegiatan sukan dan badan beruniform.

“Masih ada lagi keluarga yang tidak mampu membeli baju sukan. Dengan ini kami mengambil kesempatan memberi sumbangan baju sukan kepada murid yang dipilih oleh PIBG sekolah masing-masing.

“Kami percaya setiap murid perlu mempunyai pakaian sukan dan badan beruniform yang sesuai dan selesa tambahan lagi mereka digalak untuk memakai baju sukan atas faktor cuaca panas ketika ini,” kata Dr G Gunaraj di Facebook.

Tujuh sekolah yang terlibat menerima sumbangan berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tinggi, SK Klang Jaya, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Perempuan, SJKC HinHua, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Highlands, SJKT Batu Ampat dan SJKT Simpang Lima.

Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunaraj menyampaikan sumbangan baju sukan dan badan beruniform kepada tujuh sekolah di DUN itu pada 20 Mac 2024. Foto Facebook Dr G Gunaraj

Pada program berlainan, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sentosa terus menghulur bantuan kepada 100 lagi murid sekolah menerusi program Jom Beli Kelengkapan Sekolah di dua kedai buku di DUN itu.

“Inisiatif ini bukan sahaja menyediakan bekalan yang diperlukan tetapi bagi menyemai rasa yakin dan bangga dalam diri penerima.

“Mereka kini memiliki kelengkapan ke sekolah untuk berjaya dalam bidang akademik dan tahu bahawa komuniti sentiasa memberi sokongan,” katanya lagi.


Pengarang :