Ahli Dewan Negeri Lim Yi Wei menyerahkan baucar beli-belah kepada penduduk rumah pangsa Sri Aman di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku pada 31 Mac 2024. Foto Facebook Lim Yi Wei

340 penduduk DUN Kampung Tunku terima baucar beli-belah RM100

PETALING JAYA, 31 MAC: Seramai 340 penduduk dari rumah pangsa Sri Aman di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku menerima baucar beli-belah bernilai RM100.

Wakil rakyatnya berkata program dengan kerjasama Ahli Majlis Zon 19 Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) itu bagi membantu keluarga kurang mampu membeli keperluan asas di pasar raya terpilih.

“Sumbangan kali ini membabitkan jumlah RM34,000. Pihak DUN Kampung Tunku membelanjakan sejumlah RM14,000 manakala selebihnya oleh ahli majlis Zon 19 (RM20,000).

“Baucar bernilai RM100 ini boleh ditebus di seluruh pasar raya Giant untuk tempoh setahun,” kata Lim Yi Wei.

Beliau ditemui pada program serahan Sumbangan Makanan Ramadan di Dewan Flat Sri Aman, Petaling Jaya di sini, hari ini.

Dalam program sama, pihaknya turut menyediakan kaunter pendaftaran Pangkalan Data Utama (Padu) dan kaunter perkhidmatan MBPJ buat penduduk di sekitar Dewan Flat Sri Aman.

“Ia memberi kemudahan buat penduduk yang belum membuat pendaftaran dan kaunter perkhidmatan MBPJ ruang buat mereka membuat pembayaran bil atau aduan,” katanya.

 


Pengarang :