EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari menyerahkan cek cura kepada salah seorang penerima insentif MamaKerja pada majlis sambutan Hari Wanita peringkat Selangor di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah pada 10 Mac 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

3,850 ibu bekerja terima insentif RM1,000, ringan kos penjagaan anak

OLEH NAS NORZIELA NASBAH

AMPANG JAYA, 10 MAC: Seramai 3,850 ibu bekerja di Selangor menerima insentif MamaKerja berjumlah RM1,000 bagi meringankan beban kos penjagaan anak-anak, setakat ini.

EXCO pembangunan wanita berkata baki 1,745 daripada 5,595 keseluruhan permohonan insentif itu sedang diteliti untuk pengesahan dokumen.

Menurut, Anfaal Saari tinjauan terhadap pemohon inisiatif itu mendapati kos penjagaan anak diakui menjadi cabaran terbesar bagi ibu bekerja, iaitu sebanyak 61 peratus.

“Sejumlah 13.7 peratus respondan pula berpandangan masa kerja tidak fleksibel menjadi kesukaran bagi mereka dan 13.6 peratus memberi penekanan kepada kualiti penjagaan serta keselamatan anak-anak.

“Susulan sambutan yang menggalakkan daripada pemohon, saya akan cadangkan kepada Dato’ Menteri Besar agar Insentif MamaKerja diangkat sebagai program tahunan dalam Belanjawan Negeri 2025,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis sambutan hari wanita peringkat Selangor di Padang Perbandaran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Aiman Athirah Sabu dan Yang Dipertua MPAJ Dr Ani Ahmad.

Mengulas lanjut Anfaal memaklumkan selaras dengan Dasar Wanita Selangor, Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga akan meneliti amalan terbaik aturan masa kerja fleksibel.

Katanya, agensi pelaksana Wanita Berdaya Selangor  akan menyediakan garis panduan khusus dan menjalankan program advokasi bagi pelaksanaan masa kerja fleksibel di sektor awam serta swasta.

“Saya yakin dan pasti bahawa langkah ini bukan sahaja akan membantu wanita yang sedang bekerja tetapi juga berpotensi menggalakkan golongan ini kembali bekerja,” katanya lagi.

Kerajaan Selangor memperkenal insentif penjagaan anak bagi meringankan kos wanita bekerja yang memanfaatkan 5,000 wanita seluruh negeri.

Inisiatif MamaKerja yang mula dibuka bermula 1 November itu merupakan antara manifesto kerajaan perpaduan yang ditawar kepada rakyat Selangor pada pilihan raya negeri Ogos 2023.

Pelaksanaannya bagi menyokong penglibatan wanita dalam tenaga buruh selaras Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Melibatkan peruntukan RM5 juta, skim tersebut layak dimohon wanita bekerja memiliki tiga anak berusia bawah 12 tahun dengan pendapatan isi rumah tidak lebih RM8,000.


Pengarang :