AGENDANASIONAL

45 rumah atas air musnah dalam kebakaran di Tawau, 180 mangsa terkesan

TAWAU, 6 MAC: Sebanyak 45 rumah yang dibina di atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung Batu Laut Logpond di sini petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata anggaran keluasan kawasan kebakaran itu membabitkan 9,000 meter persegi.

“BBP Tawau menerima panggilan kecemasan pada 2.31 petang dan 44 pegawai serta anggota bomba bersama jentera bergegas ke lokasi kejadian terletak 4.1 kilometer dari BBP Tawau.

“Operasi pemadaman dilakukan dengan tiga aliran pancutan (hos) menggunakan sumber air jentera bomba, pili bomba serta air laut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Jemishin tiada kematian dilaporkan dalam kebakaran itu.

Beliau berkata kebakaran dapat dikawal pada 4.31 petang dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, ketika dihubungi Jemishin berkata siasatan awal mendapati 180 mangsa terkesan akibat kebakaran itu.

“Kampung ini ada kira-kira 300 rumah, walaupun api berjaya dikawal pihak bomba masih memantau keadaan sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta mangsa, penduduk kampung dan orang ramai supaya tidak pergi ke kawasan kejadian pada masa ini sebagai langkah keselamatan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

– BERNAMA


Pengarang :